3 pejabat kerajaan dipecah masuk
Burhanuddin menunjukkan keadaan yang berselerak selepas pejabat dipecah masuk pagi semalam.
KUALA TERENGGANU - Tiga buah pejabat kerajaan di Wisma Persekutuan, di sini, dipecah masuk iaitu melibatkan Pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dipercayai awal pagi semalam.

Ketiga-tiga pejabat tersebut yang terletak di tingkat enam, di Wisma Persekutuan di Jalan Pejabat di sini, dipecah masuk dan penjenayah berjaya melarikan sejumlah wang tunai.

Penolong Pengarah JTK Terengganu, Burhanuddin Jusoh ketika ditemui berkata, kejadian tersebut hanya disedari seorang kakitangannya, iaitu Rohani Abdullah, yang juga Ketua Kerani kira-kira jam 7 pagi ketika masuk ke pejabat berkenaan.

“Ketika masuk, staf berkenaan mendapati keadaan pejabat berselerakan, seolah-olah telah digeledah. Apabila diperiksa, beberapa bilik termasuk bilik saya dan bilik pengarah, Mohd Azmi Muhammad berada dalam keadaan berselerakan dan laci meja beberapa kakitangan turut digeledah.


Dokumen penting, komputer riba selamat

“Kita mendapati tingkap di koridor terbuka, mungkin penjenayah berkenaan masuk melalui koridor. Bagaimanapun, tiada dokumen penting dan komputer yang hilang, melainkan wang tunai yang disimpan di dalam laci hilang. Laporan polis juga sudah dibuat untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah SPR Terengganu, Fakhrul Razi Ab Wahab berkata, kejadian itu hanya disedari pembantu tadbirnya kira-kira jam 7.15 pagi dan hasil pemeriksaan mendapati, semua kabinet besi dan dua bilik termasuk biliknya dan timbalannya turut diumpil penjenayah.

“Hasil pemeriksaan, berkemungkinan penjenayah itu masuk melalui tingkap. Kita dapati pintu bilik dan kabinet besi diumpil dan penjenayah berjaya melarikan peti tunai yang mengandungi wang tunai bernilai RM250. Dokumen penting dan komputer riba yang ada di pejabat tidak diusik, mungkin penjenayah hanya memfokuskan kepada wang tunai,” katanya.

Selain itu, pejabat Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM turut dipecah masuk, namun tiada sebarang kerugian dilaporkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, dua laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kuala Terengganu oleh JTK dan SPR Terengganu kira-kira jam 8.10 pagi dan 9 pagi semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek dipercayai masuk ke dalam bangunan berkenaan dengan menaiki tangga belakang dan masuk melalui tingkap, sebelum melarikan diri menggunakan tangga kecemasan.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.