Search This Blog

Thursday, October 4, 2012

3 lagi suspek ditahan disyaki larikan muatan lori

SHAH ALAM - Polis menahan tiga lagi lelaki kerana disyaki mengambil kesempatan melarikan sebahagian barang muatan sebuah lori yang mengalami kemalangan berhampiran Ulu Bernam, dekat sini pada 22 Sept lepas.
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata ketiga-tiga lelaki berumur 27 hingga 44 tahun itu diberkas di sekitar Bukit Sentosa antara pukul 11 malam tadi dan 1 pagi ini.
 
Bercakap pada sidang media di sini hari ini, beliau berkata penahanan ketiga-tiga lelaki itu membawa kepada penemuan barangan seperti sebuah komputer riba, dua skrin monitor dan beberapa kotak ubat-ubatan dianggarkan bernilai RM10,000.
 
Katanya kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 375 Kanun Keseksaan.
 
Pada 23 Sept lepas, polis menahan dua lelaki berumur 31 dan 26 tahun di Hulu Selangor kerana disyaki melakukan kesalahan sama.

Berikutan penahanan dua lelaki itu, polis menemui semula barang muatan lori bernilai kira-kira RM20,000.
 
Kecurian muatan lori itu berlaku semasa pemandu lori berumur 46 tahun itu dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baharu berikutan kecederaan yang dialami dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 2.15 pagi.
 
Akibat kemalangan itu, lori lima tan yang membawa pelbagai barangan termasuk komputer riba, makanan, barangan kosmetik dan alat ganti kenderaan yang kesemuanya bernilai kira-kira RM800,000, turut mengalami kerosakan teruk. - Bernama

No comments:

Post a Comment