Search This Blog

Friday, October 19, 2012

3 ejen ‘herba ajaib’ diserbu



Oleh Asmah Rusman
asmah@hmetro.com.my
         

RAMPAS...anggota penguat kuasa merampas pil herba terbabit dalam serbuan, semalam.
KUALA LUMPUR: Tiga salun kecantikan digempur Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas dikenal pasti menjadi ejen menjual ‘herba ajaib’ yang dipercayai mampu menurunkan berat badan antara 10 hingga 15 kilogram dalam tempoh kurang daripada sebulan.

Lebih memeranjatkan apabila siasatan mendapati pil herba pelangsing badan yang ditawarkan mereka itu diseludup masuk ke negara ini melalui taktik membuat pengisytiharan palsu ketika melepasi pemeriksaan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).


Tambah menakutkan apabila kandungan pil yang dikatakan dihasilkan daripada sejenis herba terpilih kononnya berasaskan buah acai berry itu dicampur racun Sibutramine yang boleh membawa maut dan penyebab sakit gila.

Timbalan Pengarah Farmasi (Kuatkuasa) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Jaafar Lassa berkata, serbuan jam 11.30 pagi semalam dilakukan serentak di dua salun kecantikan di Kota Damansara dan Shah Alam manakala satu lagi di Terengganu.


“Ketiga-tiga pemilik salun terbabit menyeludup produk berkenaan melalui China sebelum dipasarkan kepada pelanggan di seluruh Malaysia yang kebanyakannya terdiri daripada suri rumah, kakitangan kerajaan dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.


Beliau berkata, mereka menjalankan perniagaan secara atas talian dengan membuat pengiklanan melalui laman facebook sebelum mengepos pesanan pelanggan mereka menggunakan pos laju.


“Produk yang mengandungi 30 pil berbentuk gel bagi pengambilan selama sebulan ini dijual RM70 hingga RM120 sebotol.


“Mereka yang dipercayai sudah bergiat aktif sejak setahun lalu mengaku mampu meraih keuntungan lumayan iaitu RM50 sebotol,” katanya.

Difahamkan, seorang daripada pemilik terbabit menggunakan taktik pembungkusan semula dengan meletakkan label syarikatnya sendiri pada produk berkenaan bagi mengelakkan ia dikesan pihak berkuasa.


Dalam serbuan berkenaan, lebih 450 botol pil berkenaan dengan nilai mencecah RM70,000 dirampas termasuk produk tidak berdaftar yang lain dipercayai pil vitamin mengandungi racun Dexamethasone dan Hydroquinone untuk mencerahkan kulit.

No comments:

Post a Comment