Search This Blog

Tuesday, October 23, 2012

28 premis perniagaan warga Thai disita



23/10/2012 4:38pm

ALOR SETAR — Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) hari ini menyita 28 premis perniagaan yang dimiliki oleh warganegara asing kerana menjalankan perniagaan tanpa permit dan lesen perniagaan di ruang legar sebuah pusat membeli-belah di sini.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan MBAS, Saifullizam Othman berkata, tujuh kompaun telah dikeluarkan kepada peniaga-peniaga warga Thailand itu kerana tidak mempunyai lesen perniagaan.
"Kita tidak pernah mengeluarkan permit dan lesen perniagaan kepada peniaga luar (asing) untuk berniaga di negeri kita kerana kita mahu menjaga kepentingan peniaga-peniaga kita. Mereka telah berniaga di sini hampir dua bulan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, MBAS terpaksa menyita barang-barang perniagaan mereka tanpa notis kerana tidak mahu peniaga itu mengambil kesempatan dan terus berniaga di sini tanpa permit.
"Jika mereka mahu berniaga di negara kita, ada banyak prosedur yang perlu mereka lalui, bukannya terus berniaga tanpa permit,” katanya.
Saifullizam berkata, sepatutnya pemilik bangunan tersebut peka dengan prosedur perniagaan dan pihaknya juga telah berbincang dengan pemilik bangunan tersebut berhubung perkara itu.
"Nilai maksimum untuk satu kompaun ialah RM300. Jika sabit kesalahan, mereka akan dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-dua sekali dan kes itu adalah di bawah Undang-undang Kecil Perlesenan Penjaja dan Gerai (MBAS 2010),” katanya.
Beliau berkata, semua barang yang disita iaitu kasut, pakaian dan aksesori wanita tidak akan dikembalikan sebaliknya akan dilupuskan. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment