Search This Blog

Sunday, October 14, 2012

2 maut motosikal ditunggang gesel, digilis kereta

2 maut motosikal ditunggang gesel, digilis kereta - Semasa - Sinar Harian:

ALOR SETAR - Dua lelaki maut setelah motosikal yang mereka tunggangi bergesel sesama sendiri dan terbabas sebelum mereka digilis oleh sebuah kereta di Kilometer 44.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, berdekatan Tol Alor Setar Utara, di sini awal pagi tadi.
   
Kejadian kira-kira 1.45 pagi itu berlaku apabila mangsa Muhammad Faredzuan Sabri dan Mohammad Firdaus Mohammad Zainuddin, kedua-duanya berusia 20 tahun, yang menunggang motosikal berasingan jenis Yamaha RX-Z dikatakan dalam perjalanan ke Sungai Petani untuk berjumpa rakan mereka di sana.
   
Muhammad Faredzuan yang berasal dari Taman Aman, Jalan Anak Bukit di sini dan Mohammad Firdaus dari Kampung Teja, Jalan Datuk Kumbar dekat sini maut di tempat kejadian berikutan kecederaan serius di kepala akibat digilis kereta.
   
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata kedua-dua mangsa dipercayai bergesel sesama sendiri dan terjatuh sebelum sebuah kereta yang datang dari belakang melanggar kedua-dua mangsa.
   
"Berdasarkan laporan pemandu kereta terbabit, kawasan tersebut gelap dan dia tidak nampak kelibat kedua-dua mangsa yang terjatuh di jalan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
   
Sementara itu, abang kepada Muhammad Faredzuan, Mohd Fahmi, 36, berkata keluarganya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh rakan-rakan mangsa yang mengetahui kejadian tersebut kira-kira pukul 2 pagi.
   
Adiknya yang merupakan bekas pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) AlorSetar dikatakan pulang ke rumah dari tempat kerja di Jalan Pegawai di sini
kira-kira 11 malam tadi sebelum keluar semula kira-kira pukul 12 tengah malam untuk berjumpa dengan rakan-rakan kelab motosikalnya.
   
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga masing-masing.
   
Mayat Muhammad Faredzuan akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Padang Sera, Jitra dan mayat Mohammad Firdaus pula di Kampung Teja, Jalan Datuk Kumbar petang ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment