Search This Blog

Monday, October 8, 2012

2 kereta sport dipandu laju rempuh pokok, 4 maut



ANGGOTA bomba dan penyelamat mengusung mayat salah seorang penumpang kereta yang terbabas lalu melanggar pokok dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Haji Ahmad, Kuantan, semalam.
KUANTAN 7 Okt. - Empat maut selepas dua kereta sport iaitu Nissan GTR dan Nissan Skyline dinaiki mereka yang disyaki dipandu laju terbabas lalu merempuh sebatang pokok di Jalan Haji Ahmad dekat sini menghala arah Semambu awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 4 pagi itu, mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta Nissan GTR, Tan Kah Yong, 24, dan penumpang hadapan kereta itu, Bao Shanshan, 26, seorang wanita warga China.
Dua lagi penumpang wanita kereta itu, Wei Li Dong, 27, yang juga merupakan warga China dan Chang Hong Nei, 36, rakyat tempatan cedera parah.
Selain itu, turut maut, pemandu kereta Nissan Skyline, Go Haw Wei, 20, dan penumpang hadapan kereta tersebut, Koay Khor Liang, 21.
Kedua-dua pemandu kereta itu merupakan ahli perniagaan.
Menurut Pegawai Penguat Kuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Supritendan Zainalabidin Othman, kedua-dua kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Semambu.
"Sampai di tempat kejadian, kereta Nissan GTR itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan dan melanggar sebatang pokok.
"Beberapa minit kemudian kereta Nissan Skyline pula turut terbabas di lokasi yang sama. Siasatan mendapati semua wanita di dalam Nissan GTR itu bekerja di sebuah spa di sini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah beliau, kesemua mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk dibedah siasat manakala dua penumpang yang parah juga menerima rawatan di hospital sama.
"Mengikut siasatan awal, kedua-dua kereta terbabit dipercayai dipandu laju. Keadaan jalan di kawasan itu basah berikutan hujan sebelum itu," ujarnya dan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Seorang saksi, K. Muniandy, 37, dari Taman Perumahan Setali berkata, dia melihat kedua-dua kereta terbabit dipandu laju sebelum merempuh pokok.
"Sejurus itu, berlaku satu letupan kuat sebelum ekzos kereta berkenaan tercampak sehingga ke halaman rumah saya," ujar beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121008/dn_07/2-kereta-sport-dipandu-laju-rempuh-pokok-4-maut#ixzz28mNXxXoU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment