Search This Blog

Friday, October 26, 2012

12 maut, hospital terbakar di Taiwan



Gambar dikeluarkan Jabatan Bomba Taiwan merakamkan anggota polis dan bomba memeriksa kerosakan teruk akibat kebakaran di Hospital Sinying, bandar Tainan, selatan Taiwan, semalam. - AFP
TAIPEI 23 Okt. - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh, manakala 60 yang lain cedera dalam satu insiden kebakaran di sebuah hospital di selatan Taiwan, awal pagi ini.
Menurut pegawai kesihatan tempatan, kebakaran tersebut berlaku di Hospital Sinying yang menempatkan kebanyakan pesakit warga emas di bandar Tainan.
Lebih 100 pesakit dipindahkan ketika kebakaran berlaku.
Pihak berkuasa pada awalnya menganggarkan seramai 72 pesakit cedera, sebelum jumlah itu diturunkan kepada 60 orang.
Kebanyakan pesakit yang terkorban dipercayai mengalami sesak nafas ekoran asap tebal, manakala mangsa yang cedera dikejarkan ke beberapa hospital lain.
Kebakaran tersebut merupakan insiden terburuk dalam tempoh beberapa tahun ini dan punca kejadian masih disiasat.
Media yang memetik kenyataan pasukan bomba melaporkan, kebakaran berkemungkinan bermula dari sebuah stor di tingkat dua bangunan setinggi lima tingkat itu.
Saluran berita TVBS melaporkan sejumlah katil dan kerusi roda pesakit dibawa keluar dari bangunan tersebut.
Beberapa keluarga mangsa bergegas ke hospital itu untuk mengetahui keadaan ahli keluarga mereka, sebaik-baik Menteri Kesihatan, Chiu Wen-ta menyatakan pihak berkuasa akan mengenal pasti identiti pesakit yang terkorban.
Perdana Menteri Sean Chen melahirkan rasa simpati dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121024/lu_03/12-maut-hospital-terbakar-di-Taiwan#ixzz2AKL2HdSp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment