Waspada penyamar TNB
penyamar TNB
SEREMBAN - Orang ramai diminta sentiasa berwaspada dengan individu yang menyamar sebagai pasukan kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan masing-masing.
Naib Presiden (Hal Ehwal Korporat) TNB, Adelina Iskandar berkata, ia berikutan kes kecurian yang berlaku di Rembau, baru-baru ini.
Menurutnya, setiap petugas yang diarahkan ke mana-mana premis, mereka hanya membuat pemeriksaan sehingga ke meter elektrik sahaja, bukannya di dalam rumah.
“Bagi pasukan kerja TNB yang ditugaskan ke premis pengguna, mereka dibenarkan membuat pemeriksaan setakat meter elektrik sahaja.
“Pasukan kerja ini tidak dibenarkan sama sekali membuat pemeriksaan dan pembaikan pendawaian di dalam rumah kerana ia di luar bidang kuasa TNB,” katanya, semalam.
Adelina berkata, pasukan kerja berkenaan hanya memasuki halaman rumah pengguna dengan kebenaran penghuni setelah menunjukkan kad kerja atau kad pengenalan diri yang dibekalkan TNB.
“Selain itu, semua petugas ini juga mewajibkan memakai pakaian seragam syarikat, berupa baju T berwarna merah dengan logo TNB, berserta jaket biru dengan sulaman logo TNB berwarna merah dan mempunyai nama pekerja," katanya.
Menurutnya, sekiranya didatangi pihak mencurigakan yang mendakwa sebagai pasukan kerja TNB, mereka diminta segera menghubungi mana-mana pejabat TNB berdekatan, seperti  tertera di dalam bil elektrik atau menghubungi polis.