Search This Blog

Wednesday, September 26, 2012

Warga India ke tali gantung kerana bunuh peguam



SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki warga India selepas dia didapati bersalah membunuh majikannya, peguam Datuk R. Anpalagan di sebuah kuil di Kampung Perepat, Klang, dua tahun lepas.
 
Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan terhadap R. Narayanan, 25, melampaui keraguan munasabah.
 
Dalam penghakimannya, beliau menolak alasan pihak pembelaan bahawa provokasi merupakan punca berlakunya kejadian bunuh itu.
 
Sebaliknya, Mohd Sofian berkata tertuduh mempunyai niat untuk menyebabkan kecederaan dan kematian mangsa.  

Sepanjang perbicaraan, 17 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azari Harun dan Khairul Fikrie Ahmad Zubaidi sementara tertuduh diwakili peguam S. Selvam.
 
Peguam Datuk Salehuddin Saidin hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa.
 
Narayanan didakwa membunuh Anpalagan, 56, dengan menetak mangsa menggunakan parang di Kuil Sri Ramalingeswarari, Lot 9221 Jalan Kebun Baru, Kampung Perepat, pada 9.30 malam, 13 Jun tahun lepas.
 
Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. Mangsa meninggal dunia akibat 18 kesan tetakan di bahagian leher.
 
Sejurus hakim membuat keputusan, isteri mangsa yang juga seorang peguam, Toh Puan A. Thelagam membuat pernyataan mengenai impak perbuatan Narayanan terhadap keluarganya.

Thelagam berkata kematian Anpalagan atas perbuatan kejam tertuduh telah memberi banyak kesan fizikal, mental dan emosi kepada beliau dan anak perempuan tunggal mereka berusia 12 tahun.
 
Wanita itu berkata perbuatan tertuduh membunuh suaminya di kuil milik mangsa dan melarikan diri dengan barangan kemas juga tidak dapat diterima keluarganya.
 
"Saya sering menanam sikap kepercayaan dan keyakinan dalam kemanusiaan, dan awak, Rajangam Narayanan (tertuduh) telah merampas itu daripada saya. Kami tidak lagi akan berasa betul-betul selamat di dunia ini dan tidak lagi dapat mempercayai seperti sebelum ini.
 
"Dunia saya telah berubah selama-lamanya, saya telah kehilangan masa lalu dan masa depan saya, setiap hari saya berusaha untuk memberi tumpuan terhadap kerja saya dan tidak ada apa-apa yang dapat melupakan saya terhadap penyeksaan yang dihadapi oleh suami penyayang saya.
 
"Saya berharap kematian Datuk (Anpalagan) bukan sia-sia. Hukuman yang dijatuhkan terhadap Rajangam Narayanan mempunyai potensi untuk mempengaruhi pemikiran dan tindakan pekerja asing lain, yang boleh menyelamatkan nyawa. Saya akan sentiasa berbangga dengan suami saya yang merupakan seorang manusia luar biasa yang mempunyai jiwa yang suci," katanya sambil menangis.
 
Suasana hiba juga terasa apabila Thelagam dilihat memeluk rakan-rakan dan anggota keluarganya selepas prosiding berakhir. - Bernama

No comments:

Post a Comment