Warga emas rugi RM50,000
Keadaan rumah mangsa yang hangus, kelmarin.
SUNGAI BESAR - Seorang warga emas kerugian hampir RM50,000 setelah rumah kelas C yang di diami bersama isteri, anak serta cucunya, di Kampung Parit 16, terbakar, kelmarin.

Menurut saksi, dikenali sebagai Yati, 36, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11.30 pagi ketika dia bersama rakan berada di balai raya berhampiran rumah mangsa.

"Saya ternampak kepulan asap di rumah berkenaan serta bertindak untuk menghubungi bomba. Api marak dengan cepat membakar rumah kayu itu dan kita tidak dapat membantu mangsa menyelamatkan barang-barang penting," katanya.

Bagaimanapun, difahamkan, mangsa, Othman Sirat, 62 yang tinggal sehelai sepinggang berjaya menyelamatkan diri bersama isteri dan dua cucunya. Manakala dua anaknya yang lain tiada di rumah kerana bekerja.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar, Rani Mat Hanafiah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kita-kira jam 11.44 pagi.

"Seramai 19 anggota dikerahkan bagi membantu memadamkan kebakaran tersebut melibatkan anggota daripada Balai Bomba Sungai Besar, Sekinchan dan Sabak Bernam.

"Sejurus tiba di lokasi, rumah berkenaan sudah mengalami kemusnahan hampir 100 peratus dan api berjaya dikawal dan dipadamkan kira-kira 45 minit kemudian," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pemilik mendakwa ternampak percikan api daripada wayar utama dari luar rumahnya dan merebak menyebabkan berlakunya kebakaran.

"Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian," katanya.