Search This Blog

Wednesday, September 26, 2012

Warga emas dipenjara, terima 'duit lendir' hasil pelacuran

Chee Keng dibawa ke Mahkamah Sesyen, semalam.
Chee Keng dibawa ke Mahkamah Sesyen, semalam.

AYER KEROH - Akibat menerima 'duit lendir' hasil pelacuran, seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Ahmad Sazali Omar menjatuhkan hukuman itu terhadap Yap Chee Keng, 58, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada hari ditetapkan perbicaraan.

Berdasarkan pertuduhan, Chee Keng, didapati menerima wang hasil persundalan seorang warganegara Vietnam dan dua warganegara China berjumlah RM470 di kaunter spa sebuah hotel di Jalan Bendahara, kira-kira jam 12.10 tengah malam pada 14 Mac 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 372(A) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana mempunyai isteri dan empat anak.

“Saya juga menghidap sakit jantung dan darah tinggi. Saya tidak dapat kerja lain dan sebab itu (saya) buat kerja ini,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Safri Mohammed Na’aim memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya terhadap tertuduh yang menggalakkan aktiviti pelacuran di negara ini.

“Selain boleh memberi imej buruk kepada negara, ia juga merosakkan sosial terutama remaja,” katanya.

Ahmad Sazali kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bermula kelmarin (semalam) dan denda RM6,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Beliau turut mengarahkan barang kes iaitu kondom dilupuskan dan wang RM470 dirampas serta diserahkan kepada Jabatan Perbendaharaan Negara.

No comments:

Post a Comment