Warga emas dibunuh penyamun
Mayat mangsa bunuh dibawa ke HTAR untuk bedah siasat, semalam. Gambar kecil: Peck Lan.
PELABUHAN KLANG – Seorang adik terkejut selepas menemui mayat kakaknya dalam keadaan mulut, tangan dan kaki terikat di rumahnya di Jalan Seroja, di sini kelmarin.

Mangsa, Lim Peck Lan, 65, sebelum itu gagal dihubungi sehingga memaksa adiknya mencari di rumahnya, kirakira jam 6.30 petang.

Sebaik tiba di rumah tersebut, dia mendapati keadaan rumah berselerak sebelum menemui mangsa di dalam bilik belakang.

Difahamkan, kali terakhir warga emas itu dilihat, kirakira jam 9 pagi. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (Siasatan Perundangan) Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima laporan daripada adik mangsa.

“Pemeriksaan mendapati mulut, tangan dan kakinya diikat dengan pita pelekat selain mulutnya berdarah. Tiada kesan tikaman mahupun kecederaan lain ditemui.

“Mangsa dipercayai dibunuh oleh penjenayah yang menceroboh masuk melalui pintu belakang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Beliau berkata, siasatan mendapati terdapat kesan umpil pada pintu belakang rumah. “Telefon bimbit dan dompet mangsa turut dilarikan penjenayah,” katanya.

Rusdi berkata, polis sedang mengenal pasti individu yang terlibat.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.