Warga emas bertarung nyawa lawan perompak
Sivappragasam menunjukkan cara dia melawan dua perompak dengan menggunakan kerusi ketika kejadian, semalam.
IPOH – Seorang warga emas cedera ringan di tangan selepas bergelut dengan dua lelaki bersenjatakan sabit dan parang yang melarikan barang kemas dan peralatan elektronik bernilai hampir RM7,000 di Taman Buntong Ria di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, dua perompak berkenaan mengumpil tingkap rumah di bahagian dapur sebelum masuk ke dalam bilik anak perempuan mereka.

Mangsa, P Sivappragasam, 64, berkata, anak perempuannya berusia 35 tahun diancam dengan mengacu sabit di leher sebelum mengarahkan ahli keluarga lain menyerahkan barang berharga.
“Perompak berkenaan mengancam anak perempuan supaya tidak menjerit jika tidak mahu dua anaknya berusia enam dan empat tahun cedera.

“Saya cuba menghalang tindakan perompak itu dengan menggunakan kerusi untuk melawan. Jiran-jiran yang sedar dengan kejadian itu mula sedar menyebabkan perompak itu melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, perompak berkenaan sempat melarikan komputer riba, telefon bimbit dan sempat melarikan cincin emas milik isterinya sebelum keluar melalui tingkap.

“Perompak melarikan diri menaiki motosikal sempat mengambil kerusi kereta dan rumah. Saya terpaksa tukar semua kunci untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

“Ini merupakan kejadian pertama dihadapi setelah 28 tahun menetap di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut 395 Kanun Keseksaan.