Search This Blog

Wednesday, September 26, 2012

Wanita dikelar penyamun rebah depan rumah jiran

 Jamaliah dikejarkan ke hospital selepas cedera parah akibat leher dikelar penyamun. - Foto Omar OsmanJamaliah dikejarkan ke hospital selepas cedera parah akibat leher dikelar penyamun. - Foto Omar Osman
Yan: Seorang wanita sempat berlari meminta bantuan daripada jiran dalam keadaan darah bercucuran daripada lehernya akibat dikelar penjenayah di Kampung Teroi, dekat sini, pagi semalam.

Jamaliah Ali, 55, yang kehilangan banyak darah bagaimanapun rebah dan tidak sedarkan diri, selepas berkali-kali mengetuk pintu rumah saudaranya yang terletak berdekatan, sebelum dikejarkan ke Hospital Yan untuk rawatan lanjut.
Berdasarkan maklumat, mangsa dipercayai dikelar ketika bergelut dengan penjenayah yang disyaki memecah masuk rumahnya, kira-kira jam 7.30 pagi.

Ketika kejadian mangsa yang menumpang rumah adiknya, dikatakan tinggal seorang diri kerana adiknya itu keluar menghantar anak ke sekolah, manakala adik iparnya pula keluar bekerja.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu, berkata berdasarkan kesan luka sepanjang lapan sentimeter, pihaknya yakin mangsa dikelar senjata tajam dipercayai parang.

Selain leher, katanya, terdapat juga beberapa kesan kecederaan lain pada badan mangsa iaitu pada kepala dan muka.

“Polis percaya suspek cuba untuk menyamun rumah mangsa kerana terdapat kesan geledah.
“Siasatan sedang dijalankan dan polis turut mengambil keterangan daripada adik serta jiran mangsa untuk melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Ismail berkata, keadaan mangsa kini stabil dan dia yang dipindahkan ke Hospital Sungai Petani kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sementara itu, seorang saksi, Rohani Omar, 54, ketika ditemui mendakwa hanya menyedari kejadian itu selepas dikejutkan bunyi goncangan kuat pada pintu rumah, ketika sedang memandikan bapanya yang lumpuh di bilik air belakang rumah.

“Tiba-tiba saya nampak mangsa rebah di depan pintu rumah saya. Tanpa berlengah, saya terus dapatkan bantuan jiran untuk hantar mangsa ke hospital,” katanya.

No comments:

Post a Comment