Search This Blog

Friday, September 7, 2012

Wajah bayi tukar biru




         
GEORGETOWN: Luluh hati seorang ibu apabila bayi lelakinya yang baru berusia 17 hari maut akibat tersedak susu dalam satu kejadian di Desa Indah Relau, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, ibu mangsa yang bangun dari tidur terkejut melihat bayinya, Ng Kian Weng dalam keadaan muka bertukar kebiruan dan sudah tidak bergerak.


Wanita terbabit kemudian mengejutkan suaminya dan mereka yang bimbang keselamatan bayi berkenaan terus membawanya ke sebuah hospital swasta.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri terbabit kecewa apabila doktor yang melakukan pemeriksaan memberitahu bayi mereka sudah meninggal dunia dan mereka dinasihatkan membawa mayat bayi terbabit ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.


Menurut sumber, dua jam sebelum itu, ibu mangsa membancuh susu dan memberikan bayinya itu minum selepas anaknya itu dikatakan kelaparan.


“Wanita terbabit kemudian menidurkan bayinya dan dia turut tertidur sebelum terjaga beberapa jam kemudian.

“Bagaimanapun, wanita terbabit terkejut melihat anaknya itu sudah tidak bergerak dan mukanya bertukar menjadi biru sebelum dia mengejutkan suaminya,” katanya.


Sementara itu, usaha untuk menemu bual pasangan suami isteri berusia 30-an itu gagal kerana mereka terlalu sedih dengan kematian bayi mereka.

Beberapa ahli keluarga termasuk datuk dan nenek mangsa dilihat berada di pekarangan rumah mayat HPP dan pasangan warga emas terbabit hanya menangis kerana tidak dapat menerima hakikat cucu mereka meninggal dunia.


Selepas bedah siasat dilakukan, seorang lelaki dipercayai ahli keluarga mangsa dilihat membawa satu keranda kecil dan dia kemudian membawa mayat mangsa dengan menunggang motosikal untuk urusan pengebumian.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kejadian berkenaan.

No comments:

Post a Comment