ALOR GAJAH - Kecewa dengan layanan teman wanitanya, seorang lelaki bertindak menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ibu teman wanitanya itu memaklumkan anaknya sedang hamil anak luar nikah.

Dalam kejadian malam kelmarin, lelaki berusia 20 tahun itu kecewa kerana teman wanitanya berusia 18 tahun itu enggan melayannya serta sering mendiamkan diri.

Menurut sumber, gadis yang tidak bekerja dan tinggal di sebuah taman perumahan di sekitar daerah ini mula mengenali teman lelakinya itu sejak Jun tahun lalu dan sering keluar bersama.

"Malah, lelaki berkenaan dikatakan sering membawa mangsa ke rumah dan beberapa kali melakukan hubungan seks," katanya.

Bagaimanapun, menurut sumber berkenaan, berlaku sesuatu di luar jangkaan apabila lelaki terbabit menghantar SMS kepada ibu mangsa mendakwa mangsa kini sedang hamil tiga bulan.

“Ibu mangsa yang terkejut setelah menerima SMS daripada lelaki berkenaan kemudian memaklumkannya kepada anak lelakinya iaitu abang kepada gadis berkenaan. Menurut ibunya, lelaki berkenaan berang dengan tindakan mangsa yang enggan membalas setiap SMS dikirim sejak tiga bulan lalu,” katanya.

Menurut sumber, akibat berang, lelaki terbabit mengugut akan mencederakan mangsa serta membuat kecoh di rumah keluarga mangsa, sekiranya arahannya tidak dituruti.

“Bimbang adiknya dicederakan, abang mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah untuk tindakan lanjut,” kata sumber berkenaan kepada Sinar Harian, semalam.

Berikutan laporan, lelaki yang bekerja di sebuah syarikat kurier ditahan beberapa jam selepas laporan polis dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Kes berkenaan dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Keganasan Rumahtangga, Wanita dan Kanak-kanak (D11) IPK Melaka untuk siasatan lanjut.” katanya di sini, semalam.