Search This Blog

Tuesday, September 4, 2012

Tukang kayu bunuh mekanik menangis dipenjara sedekad




         
KOTA BHARU: Seorang tukang kayu hanya mampu mengalirkan air mata apabila dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah terhadap tuduhan menyebabkan kematian seorang mekanik dengan memukul kepala mangsa dengan tukul, lima tahun lalu.

Hakim Zainal L Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Roszuhaiza Hassan, 32, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.


Beliau dalam penghakimannya berkata, pembelaan tertuduh adalah penafian semata-mata dan keterangan saksi pendakwaan dalam perbicaraan mengaitkan pembabitan tertuduh dalam kejadian itu.

“Sebagai abang, kamu sepatutnya berwaspada dengan setiap tindakan yang ada hadnya dengan memikirkan kesannya.


“Saya harap kamu insaf sepanjang menjalani hukuman penjara,” katanya.


Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan empat adik Muhammad Roszuhaiza dan tiga rakannya yang turut menghadapi pertuduhan sama selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kesalahan mereka dalam kejadian itu.

Beliau memerintahkan hukuman berjalan bermula semalam, namun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai dengan syarat jaminan asal RM8,000 ditambah kepada RM15,000 dengan seorang penjamin.


Mengikut pertuduhan, Muhammad Roszuhaiza didakwa dengan niat menyebabkan kematian Mohamad Ramzi Ibrahim, 29, di Jalan Kebun Sultan di sini jam 2.30 petang, pada 16 Mei 2007.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.


Harian Metro pada 18 Mei 2007 melaporkan, seorang mekanik sanggup menggadaikan nyawa kerana tidak sanggup melihat bapa dan dua adiknya dibelasah sekumpulan lelaki dengan menggunakan tukul dan kayu hoki.


Difahamkan, kumpulan lelaki itu menyerang keluarga mangsa selepas berlaku perselisihan faham antara adik mangsa dengan adik tertuduh di sekolah.


Mangsa meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) selepas koma 11 jam akibat pecah tempurung kepala dan patah leher.

No comments:

Post a Comment