Tinggalkan barang seludup lepas terlibat kemalangan
Kenderaan membawa rokok rosak pada bahagian hadapan.
Tinggalkan barang seludup lepas terlibat kemalangan
Kastam memunggah rokok untuk untuk dibawa ke pejabatnya.
RANTAU PANJANG – Seorang pemandu pacuan empat roda terkejut apabila diberitahu kereta Kenari yang terlibat kemalangan dengan kenderaan dipandunya membawa rokok dipercayai diseludup berhampiran Pusat Tarbiyah, di sini, malam semalam.

Mangsa, Nik Mohd Amir Jali, 30, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari sebuah klinik di Pasir Mas.

Katanya, sebelum tiba di tempat kejadian, dia memberikan signal membelok ke Ladang Serongga untuk menghantar dua pekerja ladang tersebut.

Bagaimanapun katanya, Kenari yang berada di laluan sama dan dipercayai pada kedudukan ketiga di belakang pacuan empat roda dipandunya melanggar belakang kenderaannya.

Berikutan kejadian, pacuan emat roda dipandunya rosak pada bahagian belakang sementara Kenari remuk di bahagian hadapan.

Menurutnya, dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan begitu juga dua pekerja ladang berkenaan.

“Selepas kejadian, pemandu kereta berkenaan tidak ada di tempat kejadian, saya percaya dia keluar melalui tingkap kereta.

“Saya difahamkan dia berada di kawasan berdekatan tempat kejadian dan dipercayai mengalami kecederaan pada bahagian tangan,” katanya malam semalam.

Nik Mohd Amir berkata, dia tidak mengetahui punca pemandu Kenari menghilangkan diri sejurus kejadian sehinggalah anggota Kastam yang melalui tempat kemalangan singgah dan mendapati terdapat bungkusan rokok di dalam kenderaan itu.

Sementara itu, beberapa bungkusan rokok itu, dibawa kastam ke pejabatnya dan Kenari terlibat dihantar ke balai polis untuk siasatan lanjut.