Mohamad Husin
Seorang ahli Jawatankuasa Masjid Haji Ishak menunjukkan kepada Mamat (tengah) dan Mohamad (kanan) melihat tempat timba berusia 80 tahun itu disimpan.
KAMPUNG DENGIR- Sebuah timba tembaga berusia lebih 80 tahun, milik Masjid Haji Ishak, kampung ini didapati hilang dipercayai dicuri pihak tertentu.
Pengerusi Jawatankuasa Masjid, Mohamad Husin berkata, timba tembaga antik seberat kira-kira 30 kilogram yang disimpan di dalam bilik imam masjid tersebut, disedari hilang oleh Imam Masjid, Mamat Taib pada jam 7 malam, minggu lalu.
Menurutnya, timba berkenaan sudah tidak digunakan lagi tetapi ia menjadi bahan sejarah kerana ia pernah digunakan untuk mengambil air perigi masjid lama puluhan tahun lalu.
“Tembaga itu memang berat dan mempunyai nilai sejarah tinggi buat masjid ini, apatah lagi pada zaman dahulu dikatakan hanya tiga buah masjid sahaja di daerah ini yang mempunyai timba seperti ini, antaranya Masjid Kuala Besut,” katanya.
Mohamad berkata, pencuri dipercayai masuk melalui pintu tingkap bilik tersebut, sebelum melarikan timba yang berada di atas meja di sudut penjuru bilik itu.
Menurutnya, sudah puluhan tahun timba berada di masjid itu tetapi tidak pernah menjadi sasaran pencuri sebelum ini.
“Kalau jual besi buruk memang harga timba itu tidak begitu bernilai tetapi sekiranya dijual sebagai barangan antik ia dianggarkan bernilai lebih RM5,000,” katanya.
Sementara itu menurut Mamat, dia menyedari kehilangan timba tersebut ketika masuk ke biliknya untuk berehat sebelum memaklumkan tentang kehilangan itu kepada Mohamad.
Satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Besut dan Mohamad berharap sesiapa yang melihat timba tembaga bersaiz besar tersebut agar melaporkan segera kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan siasatan sedang dijalankan.