KUANTAN - Tiga kejadian samun yang turut membabitkan mangsa seorang wanita warga emas dilaporkan berlaku di Pahang semalam.
  
Dalam kejadian di Felda Chini, dekat Pekan, seorang wanita warga emas diserkup mukanya dengan kain batik oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dalam kejadian pada 1.30 tengah hari ketika mangsa, 72, bersendirian di rumahnya.
 
Menurut Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri, suspek yang menutup mulut dan memakai topi keledar itu bertindak menyamun barangan kemas mangsa dan sejumlah wang tunai.
  
"Suspek bertindak  mengambil rantai dan gelang emas yang dipakai mangsa sebelum  menggeledah almari dalam sebuah bilik dan melarikan tiga bentuk cincin dan wang tunai berjumlah RM1,500," katanya di sini, hari ini.
  
Suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dengan sebuah kereta.

"Mangsa yang tidak dicederakan membuat laporan polis dan jumlah kerugian yang dialaminya dianggarkan berjumlah RM14,200," katanya.
  
Sementara itu, katanya, seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun juga disamun dua lelaki bersenjatakan parang di rumahnya di Kampung Loyang, Sanggang dekat Temerloh.
  
Katanya, dalam kejadian 8.45 malam itu, pelajar tingkatan lima itu tinggal bersendirian dan berada di ruang dapur rumahnya.
  
"Kedua-dua suspek yang memakai baju hitam dan menutup muka itu masuk melalui pintu dapur rumah yang tidak berkunci," katanya.
  
Kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri selepas menyamun wang tunai berjumlah RM2,500.
  
Dalam satu lagi kes, seorang pemuda turut disamun dua lelaki bersenjatakan pisau ketika sedang menunggu rakannya di belakang sebuah pusat karaoke di Jalan Wong Ah Jang, di sini.
 
Katanya, dalam kejadian 12.30 tengahh ari itu, mangsa, 22, tiba-tiba didatangi suspek berkenaan yang menaiki motosikal sebelum diacukan sebilah
pisau.
  
"Mangsa kerugian wang tunai berjumlah RM650 dan sebuah telefon bimbit," katanya. - Bernama