JOHOR BAHRU - Polis menahan tiga orang termasuk seorang wanita dan merampas dadah bernilai RM713,440 hasil serbuan di sebuah rumah yang dijadikan makmal dadah di Taman Desa Harmoni di sini Khamis lalu.
 
Ketua Polis Negeri Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata dalam serbuan yang dijalankan oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah dan anggota polis Seri Alam kira-kira pukul 1.30 pagi itu, pelbagai peralatan memproses dadah turut ditemui.
 
"Siasatan awal mendapati kumpulan ini memproses sendiri dadah dengan mencampurkan pil untuk kurus (atarax) dengan ekstasi dan kemudiannya diproses untuk dijual kepada penagih di negeri ini," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.
  
Menurutnya dalam serbuan itu, polis merampas ketamin seberat 2.8 kilogram,serbuk ekstasi (dua kilogram), pil ekstasi (970 biji) dan pil disyaki eramin (740 biji) yang kesemuanya bernilai RM713,440.
  
Turut dirampas, katanya tiga buah kenderaan bernilai RM250,000 iaitu jenis Mitsubishi, Honda Civic serta Perodua Myvi yang mana dua daripadanya menggunakan nombor pendaftaran negara jiran.

Mohd Moktar tidak menafikan kumpulan berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket dadah terbesar yang berjaya ditumpaskan di Muar pada minggu lepas yang membabitkan nilai rampasan sebanyak RM68 juta.
 
Katanya, hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek mendapati kesemua mereka positif dadah dan siasatan turut mendapati salah seorang daripada lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau.
  
"Mereka kini ditahan reman selama enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 32 (Perlucutan Harta) akta yang sama," katanya.
  
Sementara itu polis mencari dua lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes rampasan dadah bernilai RM68 juta di Muar pada 9 September lepas.
  
Dua lelaki berkenaan ialah Lim Wen Long @ Siau Loong, 36, yang bernombor kad pengenalan 760301-01-5807 dan Wee Chong Sen @ Ah Weh, 44, bernombor kad pengenalan 681031-01-5499.
  
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali dua lelaki berkenaan diminta menghubungi polis di talian 07-2212999 atau mana-mana balai polis berhampiran. - Bernama