Search This Blog

Wednesday, September 26, 2012

Tergamam lihat bumbung rumah diterbangkan

Noriza Johari
Keadaan bahagian bumbung rumah Noriza yang diterbangkan angin.
BALING - "Saya tergamam melihat bumbung rumah diterbangkan angin dengan sekelip mata. Kemudian, saya terus menjerit memanggil nama anak sebelum berlari keluar dari rumah," kata Noriza Johari, 46, dari Kampung Seberang Pekan yang terlibat dalam kejadian ribut kira-kira 4 petang, kelmarin.
Noriza yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Tunku Putera hanya mampu mengucap panjang setelah melihat sebahagian bumbung rumahnya diterbangkan angin.
Ketika itu, hanya Noriza dan seorang anaknya yang berusia 13 tahun berada di dalam rumah.
“Sebelum kejadian, hujan memang lebat disertai bunyi angin yang menakutkan.
“Alhamdulillah, walaupun sebahagian bumbung rumah musnah, saya dan anak tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, jiran-jiran turut melaungkan azan ketika menyaksikan kejadian yang pertama kali berlaku itu.
Kejadian ribut itu turut menerbangkan bumbung sebuah premis perniagaan berdekatan perhentian teksi Baling menyebabkan hampir keseluruhan bumbung premisnya tercabut sehingga merosakkan produk perniagaannya.
Selain itu, gerai serbaneka di sebuah stesen minyak di Pekan Baling ranap teruk selepas dihempap pokok setinggi 20 meter.
Namun begitu, pengurus stesen minyak berkenaan tidak membenarkan pihak media untuk mengambil gambar kejadian terbabit.
Pasukan penyelamat antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam termasuk penduduk setempat bertungkus lumus mengalihkan beberapa batang pokok yang tumpang di tengah jalan.
Baling antara daerah di Kedah yang sering dilanda ribut terutama di kawasan Parit Panjang, Kuala Ketil dan Lanai iaitu melibatkan lebih dari tiga kejadian ribut tahun ini.

No comments:

Post a Comment