Tarik kunci guna penyapu
Nor Rahmat (kanan) dan Fara Farhani melihat tingkap yang pernah diintai sebelum ini.
ALOR GAJAH - Hanya menggunakan penyapu berdekatan pintu, perompak berjaya memecah masuk rumah dua pekerja sebuah hotel, di sini, dengan menarik kunci diletakkan atas sebuah meja di ruangan dapur, tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, seorang penghuni rumah berkenaan, Nurul Akmal Hashim, 21, berkata, dia hanya menyedari rumah dipecah masuk sejurus pulang dari pekan Durian Tunggal selepas membeli makanan tengah hari.

Menurutnya, ketika kejadian, dia berseorangan sementara empat lagi rakan serumahnya, Norain Ramli, 23; Nor Rahmat, 21; Fara Farhani Rozali, 16, dan Rosmaliyana Manja, 25, keluar bekerja.

"Selepas membeli makanan, saya pulang ke rumah kira-kira setengah jam kemudian dan terkejut mendapati bilik berselerak serta lantai kelihatan kotor.

“Apabila ke dapur, saya lihat penyapu yang diletakkan berdekatan pintu jeriji sudah beralih tempat dan pintu terbuka," katanya.

Nurul Akmal berkata, terkejut dengan kejadian itu, dia segera memeriksa duit berjumlah RM450 disimpan dalam kotak di dalam almari.

"Bagaimanapun, duit berkenaan sudah tiada dan saya syak rumah dimasuki perompak.

"Saya segera menghubungi empat rakan serumah lain bagi memaklumkan kejadian yang berlaku," katanya.

Menurutnya, kerugian akibat kejadian itu dianggarkan RM1,000.

"Wang berjumlah RM300 dan sebuah telefon bimbit milik Rosmaliyana turut hilang. Bagaimanapun dua bilik lain tidak digeledah kerana berkunci," katanya.

Sementara itu Nor Rahmat berkata, sebelum ini rumah mereka pernah diintai individu tidak bertanggungjawab menerusi tingkap dapur sebelum membuat laporan di balai polis berdekatan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak meninggalkan kunci rumah berdekatan dengan pintu atau tingkap rumah dan mudah dilihat bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini," katanya.