Taktik baru curi kereta
Engsel pagar rumah mangsa diumpil dan dialihkan penjenayah sebelum mereka membawa keluar kenderaan dari garaj.
BENTONG – Malang buat seorang penduduk Taman Bentong Makmur, dekat sini, apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux yang diletakkan di dalam garaj rumahnya, dicuri awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, kejadian itu disedari mangsa ketika dia ingin keluar bekerja kira-kira jam 7.30 pagi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat mangsa, dia tidak menyedari mengenai kejadian itu kerana kali terakhir kenderaan tersebut dilihatnya selepas balik kerja pada petang kelmarin.

“Kejadian dipercayai dilakukan penjenayah pada awal pagi. Berdasarkan siasatan, mereka menggunakan taktik baru dengan mengumpil engsel pagar sebelum mengeluarkan kenderaan daripada garaj.

“Sebelum ini, kebanyakan kes berlaku membabitkan kenderaan diletakkan di luar kawasan rumah. Namun kejadian ini cukup berbeza kerana pintu pagar rumah mangsa diumpil walaupun berada dalam keadaan berkunci,” katanya.

Abdul Aziz berkata, susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Bentong.

Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan dan dalam masa sama memerlukan kerjasama orang awam sekiranya mempunyai maklumat berhubung perkara itu.

“Pemilik kenderaan terutama pacuan empat roda dinasihatkan supaya lebih berhati-hati kerana kenderaan jenis itu sering menjadi sasaran penjenayah.

“Dalam masa sama, penduduk terutama di kawasan perumahan diminta peka dengan kehadiran individu atau kumpulan tidak dikenali. Mereka perlu segera melaporkannya kepada polis untuk mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.