Pasangan kekasih itu disoal siasat oleh anggota penguat kuasa JAJ daerah Kluang.
Pasangan kekasih itu disoal siasat oleh anggota penguat kuasa JAJ daerah Kluang.
KLUANG - Seorang lelaki bertindak nekad melarikan diri dari dicekup anggota bahagian penguat kuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) Kluang di sebuah hotel bajet di sekitar bandar Kluang, Sabtu lalu.

Pemuda yang berusia 23 tahun itu dipercayai mahu melarikan diri apabila mengetahui JAJ Kluang mengadakan operasi di situ yang secara kebetulannya dia menyewa bilik hotel bersama kekasihnya berusia 18 tahun.

Berikutan kejadian itu, berlaku adegan kejarmengejar kira-kira 10 minit dan akhirnya lelaki berkenaan berjaya ditangkap untuk disoal siasat.

Difahamkan, lelaki berkenaan melarikan diri kerana takut ditangkap berkhalwat bersama pasangannya yang pada mulanya dikatakan ‘abang saudara’.

Pegawai Tadbir Agama daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor berkata, setelah didesak oleh pegawai bertugas, pasangan itu mengakui singgah di hotel itu untuk bermalam dan kebetulan keluarga perempuan tiada di rumah, kerana ke Negeri Sembilan.

“Malah, remaja perempuan yang tinggal Taman Sri Kluang itu memberi alasan tiada kunci rumah untuk memasuki rumahnya menyebabkan dia dan pasangannya menyewa di bilik hotel bajet.

“Namun JAJ tidak terperangkap dengan alasan-alasan sedemikian,” katanya.

Mohd Khalil berkata, pasangan itu ditahan oleh penguatkuasa JAJ lebih kurang jam 4.20 pagi dan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk membuat laporan.

Hasil soal siasat mendapati perempuan itu masih belajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Melaka, manakala lelaki berkenaan bekerja di sebuah kilang di Kluang.

“Bagaimanapun, pasangan itu akan disiasat di bawah Seksyen 27 (1) (a) & (b) Enakmen Jenayah Syariah Johor 1997 yang mana boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Operasi yang dijalankan itu diketuai Ketua Unit Penguat kuasa Agama Daerah Kluang, Anuar Kosnin dan melibatkan lapan anggota Penguatkuasa JAJ daerah Kluang serta empat  anggota Cawangan Penyiasatan Khas (CPK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).