Search This Blog

Friday, September 7, 2012

Tak sempat selamat kereta



7 September 2012
SEREMBAN – “Saya dan ahli keluarga cuba membantu memadam kebakaran dan menyelamatkan kereta di garaj tapi api terlalu marak,” kata Nor Syazwani Zainuddin, 25.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 1.55 pagi semalam, sebuah rumah di Bukit Jong, Temiang dekat sini, musnah dalam kebakaran.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan rumah terbabit tidak berpenghuni.

Nor Syazwani berkata, ketika kejadian dia bersama ahli keluarganya yang menetap di rumah bersebelahan nyenyak tidur, namun dikejutkan dengan jeritan kakak iparnya yang memaklumkan rumah abangnya terbakar.

“Kakak ipar saya ingatkan ada jiran kami yang bergaduh kerana bunyi cermin pecah tapi terkejut selepas melihat melalui tingkap, rumah abang saya terbakar.

“Saya bergegas bangun dan hanya terfikir mahu menyelamatkan kereta yang diletakkan di garaj rumah berkenaan malangnya api terlalu marak,” katanya.

Menurutnya, rumah abangnya itu sudah beberapa tahun tidak berpenghuni selepas abangnya berpindah ke Taman Sri Pulai, Sikamat.

Namun kata Nor Syazwani, ia tidak disewakan dan disebabkan rumah mereka bersebelahan, dia akan meletakkan kenderaannya di situ.

“Kejadian ini amat mengejutkan dan saya sedih kerana kereta Proton Saga yang dibeli dua tahun lalu rosak teruk akibat kebakaran ini,” katanya.

Sementara itu jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.55 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebuah jentera berserta lima pegawai dan anggota penyelamat dikerah memadam kebakaran.

“Rumah terbabit adalah rumah kosong tetapi ada sebuah kereta diletakkan di garaj.

“Hampir keseluruhan rumah berkenaan musnah dan bomba mengambil masa 10 minit untuk mengawal kebakaran,” katanya.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, sementara punca kebakaran dan kos kerugian masih lagi disiasat.

No comments:

Post a Comment