Search This Blog

Saturday, September 29, 2012

Tak sempat pulang ke Lombok

Tak sempat pulang ke Lombok
Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Gambar kecil: Basri
LUBOK CHINA - Hasrat seorang lelaki untuk pulang ke kampung halaman di Lombok, Indonesia tidak tercapai apabila dia maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah jentera di ladang kelapa sawit Kampung Brisu, dekat sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, jentera traktor dipandu Arifin, 40-an, sementara mangsa, Basri Hasan, 44, dan seorang lagi rakan, Ibrahim Baharudin, 44, duduk di bahagian belakang sebelum jentera berkenaan tergelincir.

Rakan mangsa, Ibrahim Baharudin, berkata, ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke penempatan dalam ladang sawit menuruni bukit mengakibatkan jentera yang dinaiki mereka tergelincir dan meluncur laju.

"Sebaik melalui jalan menuruni bukit dan tidak rata, tiba-tiba jentera yang kami naiki terlanggar sesuatu," katanya.

Menurutnya, jentera yang mereka naiki gagal dikawal sebelum ia meluncur menuruni bukit dan dia sempat turun dari kenderaan itu.

"Rakan yang memandu dan mangsa juga sudah tercampak sebelum jentera itu berhenti sendiri berikutan tayar yang tercabut.

"Saya segera membantu mangsa sebelum menghubungi penyelia ladang bagi memaklumkan kejadian dan dibawa ke hospital," katanya.

Ibrahim berkata, sebelum kejadian dia sempat makan tengah hari bersama mangsa.

"Ketika makan, tiba-tiba mangsa menceritakan semula kejadian seumpama ini yang pernah berlaku ketika bekerja di Pahang.

"Malah, mangsa sempat memesan kepada saya supaya memandu jentera dengan berhati-hati sekiranya berhasrat mencuba membawanya namun saya tidak berani mengendalikannya," katanya.

Katanya, beberapa hari sebelum kejadian mereka melakukan kerja yang sama di Parit Jawa, Muar dan mangsa beria-ia mahu mengikut ke Brisu walaupun sudah ditegah olehnya.

"Mangsa bersungguh-sungguh mahu turut serta dan menyatakan mahu mencari duit lebih kerana bercadang pulang ke Lombok bertemu keluarga pada 15 Oktober ini.

"Walau bagaimanapun hasratnya tidak kesampaian manakala seorang lagi rakan koma dan dirawat di Hospital Alor Gajah," katanya.

Sementara itu, majikan mangsa, Mohd Farid Salleh berkata, mangsa bekerja di ladang terbabit sejak dua hari lalu berikutan dalam proses meracun sebelum ia diambil alih oleh pihak lain.

“Mangsa baru berada di sini dua hari lepas untuk operasi membersihkan kawasan sebelum diambil alih oleh pihak lain dan ketika kejadian cuma mereka bertiga berada di kawasan ladang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan sebuah jentera dalam ladang sawit.

“Berikutan kejadian salah seorang daripada mereka meninggal di tempat kejadian, pemandu jentera dilaporkan koma dan dirawat di Hospital Alor Gajah sebelum dirujuk ke Hospital Melaka sementara seorang lagi selamat.

“Mangsa dibawa ke bilik mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat dan siasatan awal kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut akan diteruskan,” katanya.

No comments:

Post a Comment