Surau sering dimasuki anjing
Azmi (kiri) dan Sharif (dua, kanan) bersama guru sekolah menunjukan jaring yang terpaksa dipasang untuk menghalang kemasukan anjing ke dalam surau.
ALOR SETAR - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Rotan (SMKKR) merayu sumbangan orang ramai untuk proses pembesaran dan membina dinding surau sekolah berkenaan, bagi mengelakkan dimasuki haiwan liar terutama anjing pada waktu malam.

Yang Dipertua PIBG SMKKR, Azmi Bakar, 53, berkata, pembesaran surau tersebut memerlukan perbelanjaan sehingga RM300,000.

Bagaimanapun, pihak jawatankuasa projek masih memerlukan sebanyak RM150,000 bagi kerja-kerja melantai, memasang siling, pendawaian elektrik dan pembinaan tempat wuduk.

Katanya, surau itu perlu diperbesarkan memandangkan saiz surau sebelum ini tidak boleh menampung bilangan pelajar seramai 714 orang dalam satu masa.

“Surau yang dibina bagi menggantikan surau lama hasil sumbangan daripada bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain pada 2005 yang hanya mampu memuatkan 60 hingga 70 pelajar dalam satu masa.

“Pembesaran surau ini bertujuan memberi peluang kepada semua pelajar dan guru menunaikan solat Zuhur secara berjemaah sebelum pulang sekolah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Azmi berkata, proses mempercepatkan menyiapkan surau itu penting kerana ia sering dimasuki haiwan liar, termasuk anjing pada waktu malam, sekali gus menjejaskan kesucian dan kebersihan surau tersebut.

Dalam pada itu, pihak jawatankuasa projek terpaksa mengambil jalan alternatif dengan memasang jaring di sekeliling surau untuk mengelakkan daripada dicemari anjing.

“Kawasan surau ini tidak seharusnya terdedah tanpa dinding kerana boleh menimbulkan syak wasangka jemaah terhadap kebersihannya.

“Walaupun 50 peratus pembinaan surau itu sudah siap, namun dana yang tidak mencukupi memberi satu bebanan kepada pihak pengurusan projek untuk membina dinding surau berkenaan yang menjadi satu keutamaan,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMKKR, Sharif Bahari berkata, pembesaran surau ini adalah untuk meningkatkan keharmonian pelajar berlandaskan ajaran Islam, di samping memberi peluang untuk pelajar mengulangkaji pelajaran di surau itu selepas sesi persekolahan.

Pembinaan surau juga melambangkan wujudnya syiar Islam di situ.
“Begitu juga halnya dengan SMKKR. Namun demikian, keadaan surau yang pada asalnya hanya mampu menampung sehingga 70 jemaah dalam satu masa, menyukarkan guru-guru khususnya guru pendidikan Islam untuk melaksanakan aktiviti berkaitan aspek penghayatan dan amali, sedangkan kedua-duanya adalah komponen utama dalam mata pelajaran pendidikan Islam.

“Sebab  itu pihak sekolah telah mengambil inisiatif untuk membesarkan surau tersebut bagi menampung keperluan berkenaan.

“Usaha-usaha proaktif juga digerakkan bagi membolehkan pelajar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai seorang yang beragama Islam, di samping melaksanakan aktiviti-aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di sekolah,” katanya.

Menurutnya, pembesaran surau tersebut mampu memuatkan sehingga 1,000 jemaah dalam satu masa.

Disamping itu, keadaan surau yang lebih sempurna juga amat diperlukan dalam proses memantapkan dan mengukuhkan lagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam dalam kalangan pelajar.

“Hal ini kerana surau tersebut bakal berfungsi sebagai Makmal Pendidikan Rohani dalam semua aktiviti berasaskan kurikulum, Hal Ehwal Murid dan kokurikulum,” jelasnya.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui cek atau tunai ke akaun Tabung Pembangunan Surau SMK Kubang Rotan, Bank Islam Malaysia Berhad, nombor akaun 020110010094832.