Search This Blog

Friday, September 7, 2012

Suami isteri ‘taiko’ dadah



BATU PAHAT – “Jika dianggarkan jumlah dadah jenis ketamin yang kami rampas ini cukup untuk dibekalkan kepada 400 penagih di daerah ini,” kata Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad.

Menurutnya, seorang wanita yang menjadikan aktiviti pengedaran dadah bersama suaminya sebagai kerjaya tetap bagi menampung hidup mereka dan tiga anaknya diberkas polis dalam satu serbuan di Taman Pantai, di sini, malam kelmarin.

Katanya, lebih mengejutkan lagi pasangan terbabit menjalankan aktiviti haram itu secara terang-terangan apabila melakukan urusan jual beli di rumah miliknya itu tanpa ada rasa bimbang.

“Dalam operasi dijalankan polis cawangan narkotik Batu Pahat, wanita berusia 31 tahun dari daerah ini ditahan bersama suaminya berusia 44 tahun di rumahnya kira-kira jam 4.30 pagi.

“Melalui siasatan awal, wanita itu bersama suaminya menjalankan perniagaan mereka sekitar Batu Pahat dan menyasarkan pelanggan tetap yang akan datang sendiri ke rumahnya untuk mengambil dadah berkenaan.

“Ketika ditahan, polis menemui 75 paket dadah jenis ketamin yang sedia dipasarkan seberat 236.81 gram bernilai RM18,650.

“Pasangan itu yang mempunyai tiga orang anak berusia antara tiga hingga lima tahun menjadikan rumah mereka sebagai markas untuk urusan jual beli dadah bagi mengaburi polis.

“Bagaimanapun, kecekapan anggota dan pegawai berjaya menggagalkan aktiviti haram itu daripada terus berleluasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, di sini, semalam. Din berkata, pihaknya juga turut merampas kenderaan milik suspek iaitu dua buah kereta dan dua buah motosikal.

“Pihak kami juga merampas wang tunai dari pelbagai negara dan dianggarkan jumlah keseluruhan barang yang dirampas bernilai RM150,000.

“Kami juga akan menyita rumah yang dijadikan tempat urusan jual beli terbabit.

“Pasangan itu kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat bagi siasatan lanjut,” katanya

Berikutan itu, pasangan terbabit disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

No comments:

Post a Comment