Stor simpan peralatan kokurikulum di SMK USJ13 musnah terbakar
Notis pemberitahuan diletakkan di pagar sekolah bagi memaklumkan sesi persekolahan dibatalkan berikutan kejadian kebakaran.
SUBANG JAYA – Sesi petang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 13 dekat sini terpaksa dibatalkan apabila sebuah bilik stor yang menyimpan peralatan aktiviti kokurikulum pelajar terbakar pagi, semalam.

Difahamkan, pembelajaran pelajar sesi pagi turut dihentikan serta-merta dan kesemua 973 pelajar yang berada di dalam kelas masing-masing di arah ke tempat berkumpul dalam keadaan terkawal.

Sinar Harian dimaklumkan, kejadian terbabit disedari seorang guru yang terdengar bunyi cermin pecah dipercayai akibat bahang api yang membakar peralatan dalam bilik stor berkenaan.

Ketua Balai Bomba Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba Mohd Khairi Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9.57 pagi sebelum anggotanya tiba di tempat kejadian lapan minit selepas itu.

Menurutnya, kebakaran membabitkan bilik kokurikulum terletak di tingkat 3 salah sebuah blok bangunan menyebabkan kesemua pakaian pasukan unit beruniform dan alatan kebudayaan yang ditempatkan di situ musnah sama sekali.

Katanya, api berjaya dikawal daripada merebak ke bilik makmal sains terletak bersebelahan kira-kira 20 minit selepas itu.

Mohd Khairi berkata, seramai 21 anggota dan empat jentera dikejarkan ke tempat kejadian masing-masing dua dari Balai Bomba Subang Jaya, Sungai Penchala dan Puchong.

“Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang mengakibatkan kerugian hampir RM100,000 itu,” katanya punca kebakaran masih dalam siasatan dan akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.

Beliau berkata, pihaknya juga meminta pihak sekolah berhubung dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang datang beberapa jam selepas itu untuk membuat pemeriksaan pendawaian.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di sekolah berkenaan semalam mendapati, beberapa guru ditempatkan di luar pintu pagar sekolah bertujuan mengawal situasi.

Guru berkenaan juga dilihat memaklumkan kepada ibu bapa penjaga yang menghantar anak mereka ke sekolah bahawa sesi petang sekolah dibatalkan.