Sorok dadah dalam bagasi
Ramli (dua, kiri) menunjukkan dadah dan beg yang digunakan dalam cubaan menyeludup dadah oleh warga asing.
JOHOR BAHRU – Menggunakan modus operandi yang sama dengan menyorokkan dadah di ruangan terselindung dalam bagasi, nyata tidak dapat mengaburi cubaan menyeludup masuk bahan terlarang itu ke negara ini.

Taktik itu dapat dikesan Kastam Diraja Malaysia Johor, dalam dua cubaan berasingan oleh dua warganegara asing ketika melalui laluan Penumpang Pejalan Kaki (in-bound) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini pada 8 September dan 19 September lalu.

Pengarah Kastam Negeri, Datuk Ramli Johari berkata penangkapan dua individu warga Afrika Selatan dan Indonesia, pihaknya berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah seberat 11 kilogram bernilai RM2.09 juta.

“Dalam kejadian pertama seorang lelaki warga asing yang baru pertama kali masuk ke Malaysia itu ditahan Unit pemeriksaan penumpang kira-kira jam 12.20 tengah hari di mana dia membawa satu bagasi dan beg sandang. Pemeriksaan pada beg mendapati ada objek yang meragukan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua plastik lutsinar yang didapati mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis metamphetamine seberat enam kilogram bernilai RM1.14
juta.

“Begitu juga dengan kes kedua pada 19 September yang dilakukan seorang wanita warga asing dipercayai membawa lima kilogram dadah yang sama bernilai RM950,000,” katanya kepada pemberita di Menara Kastam, di sini, semalam.

Ramli berkata kedua-dua mereka yang berusia 41 dan 24 tahun direman 14 hari disiasat di bawah Seksyen 39 B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Katanya dengan tertumpasnya dua cubaan menyeludup masuk dadah ke negara itu merupakan kejadian pertama yang direkodkan pihaknya sejak BSI itu mula beroperasi pada 2010.