Seludup diesel: 10 kali isi minyak
Pegawai Penguatkuasa, Nazli Wadi Che Ros menunjukkan ruangan tangki lori yang digunakan untuk mengisi minyak bersubsidi melebihi had ditetapkan KPDNKK.
SEMANGGOL - Perbuatan mencurigakan seorang pemandu lori singgah ke 10 stesen minyak di sekitar daerah ini mengundang padah apabila dihidu anggota Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) cawangan Parit Buntar, malam kelmarin.

Ketua cawangannya, Abdul Rahman Yang Mohd Yusof berkata, lelaki tempatan berusia lingkungan 40an itu ditahan di salah sebuah stesen minyak di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Gunung Semanggol menghala ke arah selatan kira-kira jam 10 malam sewaktu sedang leka mengisi minyak diesel ke dalam tangki lori itu.

Menurutnya, operasi membanteras penyelewengan minyak bersubsidi di sekitar daerah Kerian yang diketuai pegawai penguatkuasa, PPP Nazli Wadi Che Rosli pada awalnya bertumpu pada kesemua stesen minyak di sekitar daerah ini.

“Bagaimanapun hasil risikan selama dua hari, aktiviti pembelian minyak diesel oleh pemandu lori ini mendapati, dia singgah ke 10 stesen minyak sebelum ditahan di stesen persinggahan terakhir.

"Hasil siasatan didapati terdapat empat ruangan berasingan di lori ini yang mampu memuatkan lebih kurang 5,000 liter minyak diesel,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Abdul Rahman berkata, berikutan itu, seorang lelaki warga tempatan ditahan dan lori tangki yang dipandu berserta kandungan minyak diesel sebanyak 5,000 liter atau bernilai RM9,000 turut disita hasil tindakan pantas anggota yang mengekori pergerakan pemandu lori berkenaan bermula di Parit Buntar.
“Keseluruhan jumlah nilai rampasan termasuk lori lebih kurang RM79,000.

"Satu laporan polis dibuat berhubung penahanan ini dan tidak menolak kemungkinan sejumlah minyak diesel yang di seleweng akan dihantar ke negara jiran untuk dijual dengan harga lebih tinggi," katanya.

Berdasarkan keterangan pemandu lori itu, pihaknya mengenal pasti lori tangki berkenaan akan dibawa ke Alma, Seberang Perai Tengah sebelum dipercayai dihantar ke negara jiran melalui laluan tikus.

“Kita akan meneruskan pemantauan selain mempergiatkan tindakan pembanterasan penyelewengan diesel subsidi.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki minyak diesel untuk tujuan melakukan kesalahan. Sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau 3 tahun penjara bagi kesalahan pertama,” katanya.