'Saya hanya fikir rumah' - Mangsa kebakaran
Julisha (kanan) bersama anak dan ibu saudaranya menunjukkan kotak fius elektrik yang dipercayai tempat punca berlakunya kebakaran sehingga perabot dan dinding.
'Saya hanya fikir rumah' - Mangsa kebakaran
Dari kiri Mohd Faizal, Mohd Satti, Julisha, Zaini dan wakil Pejabat Dun Chukai melihat keadaan sofa musnah terbakar yang dikeluarkan dari bahagian ruang tamu rumah.
KEMAMAN – “Waktu api beralun di siling dan asap memenuhi ruang tamu rumah, saya berkejar ke tandas di bahagian dapur dan angkut air dengan baldi sebelum menyimbah air pada sofa yang marak,” kata suri rumah, Julisha Kasim, 38, yang nekad meredah asap sendirian demi mengelakkan keseluruhan rumahnya hangus dalam kebakaran semalam.

Tindakan pantas ibu lima anak ini nyata tidak sia-sia apabila api yang membakar sofa di bawah kotak fius elektrik di bahagian ruang tamu mulai reda dalam kebakaran di Kampung Pengkalan Pandan, Chukai, dekat sini, kira-kira jam 10 pagi.

Julisha berkata, saat keluar dari bilik tidurnya untuk mandi, dia terkejut melihat api membakar sofa dan lebih menakutkan, keadaan api yang menjulang mengakibatkan api beralun di permukaan siling rumahnya.

“Ketika itu timbul semangat luar biasa dalam diri saya untuk padamkan api tanpa saya fikir untuk keluar dari rumah dan menyelamatkan diri kerana apa yang saya fikirkan, hanya mahu selamatkan rumah kami. Saya redah asap dan simbah air ke atas sofa yang sedang marak.

“Sebanyak empat kali saya punggah air dan simbah, syukur api beransur reda dan sejurus itu ramai jiran datang bantu padamkan sisa kebakaran sebelum bomba tiba,” katanya kepada Sinar Harian menceritakan detik cemas dialaminya.

Julisha berkata, semasa kebakaran, kotak fius meletup menyebabkan percikan api merebak ke bahagian dinding setentang dengan tempat kotak fius hingga sebahagian dinding itu turut dimamah api.

Menurutnya, ketika kejadian suaminya yang bertugas sebagai pemandu di sebuah syarikat di Geliga, Mohd Faizal Mokhtar, 42, keluar bekerja dan hanya dia dan tiga anaknya, Siti Najihah, 17; Che Azwanita, 17 (anak angkat) dan Zulfahmi, 5, berada di rumah.

Kesemua anaknya selepas menyedari rumah mereka terbakar segera keluar dari rumah kerana panik dan Siti Najihah meminta pertolongan daripada jiran.

Kerugian yang ditanggungnya sekeluarga dianggarkan bernilai RM10,000 kerana selain dua set sofa musnah, sebahagian struktur dinding rumah dan siling dimamah api.

Sementara itu, ibu saudara Julisha, Zaini Putih, 60, yang tinggal bersebelahan berkata, dia melihat asap hitam keluar dari tingkap rumah anak saudaranya itu sejurus cucu saudaranya menjerit meminta tolong.

Musibah yang menimpa keluarga Julisha itu turut mendapat perhatian Pejabat Dun Chukai dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pengkalan Pandan, Mohd Satti Said yang datang menziarah dan melihat keadaan rumah mangsa.

Bagi meringankan beban, Pejabat Dun Chukai akan menyalurkan bantuan baik pulih rumah termasuk pemasangan sistem pendawaian elektrik yang mana kerja-kerja baik pulih akan dilakukan segera iaitu bermula hari ini.

Mana-mana pihak yang turut sama mahu membantu boleh menghubungi Mohd Faizal menerusi talian 013-9673111.