Rumah terbakar dua kali
Aminah (kanan) melihat sisa kebakaran rumah miliknya yang terbakar.
PUCHONG - Kelegaan dirasai seorang pemilik rumah sewa selepas dikatakan berjaya memadam kebakaran kecil di salah sebuah unit kediaman miliknya tidak berpanjangan apabila kedua-dua rumah itu musnah terbakar dalam kejadian kali kedua hanya beberapa jam selepas itu.

Kejadian di lorong 4, Kampung Tengah dekat sini tengah hari kelmarin menimbulkan kemusykilan kepada mangsa bagaimana api yang sudah dipastikan dipadamkan sepenuhnya kembali ‘hidup’ dan membakar kedua-dua unit rumah terbabit.

Pemilik, Siti Aminah Harun, 56, berkata, dia dikejutkan dengan tragedi itu oleh seorang penyewa rumahnya ketika baru pulang ke rumah selepas berkebun.

Katanya, penyewa memaklumkan gas terbakar di bahagian dapur sebelum dia dan suami bergegas mengambil tuala basah menutup api dan memadamkan kebakaran itu sendiri.

Menurutnya, ketika itu api tidak marak dan kerja pemadaman dilakukan bersama suami serta beberapa penduduk sehingga pasti tiada lagi api, asap atau bau kebakaran di rumah berkenaan.

Aminah berkata, beberapa jam selepas itu kira-kira jam 3.15 petang, dia sekali lagi terkejut apabila penyewa rumahnya memberitahu api marak di bahagian sama seperti sebelumnya.

“Situasi sekali lagi menjadi cemas, saya dan suami kelam kabut memadamkan api namun apabila mendengar beberapa bunyi letupan kami segera keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui, semalam.

Mangsa kebakaran, Nurul Syahida Zaini, 26, berkata, ketika kejadian yang menyebabkan dia sekeluarga kerugian hampir RM40,000 itu, hanya dia dan anak berusia 18 bulan berada di dalam rumah.

Katanya, kejadian kebakaran pertama disedari dan dimaklumkan kepada pemilik rumah apabila api gagal dipadamkan sendiri kira-kira jam 1.45 petang.

Syahida berkata, dia sekali lagi meminta pertolongan pemilik rumah apabila bahagian dapur rumah disewanya itu terbakar.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Puchong, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jafri Amat berkata, beliau menerima maklumat kebakaran pertama berlaku di rumah itu tetapi tidak dimaklumkan kepada pihaknya.

Katanya, berkemungkinan ada bara api tertinggal di bahagian siling. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.