M Maniam
Perabot di dalam rumah mangsa yang hangus.
ULU BERANANG - Hasrat sepasang suami isteri yang mahu pulang ke rumah selepas berkunjung ke rumah anak mereka di Mantin berkecai apabila mendapat tahu kediaman mereka di No 7, Rumah Rakyat Ulu Beranang, dekat sini, musnah dijilat api, 30 Ogos lalu.
Mangsa, M Maniam, 58, berkata, ketika kejadian yang berlaku lebih kurang jam 12 tengah malam itu tiada sesiapa berada di rumah.
Menurutnya, dia mengetahui rumahnya terbakar selepas dihubungi jirannya.
"Sejurus menerima panggilan itu, saya bersama isteri, K Devani, 56, bergegas pulang dan ketika kami tiba, api dipadamkan dan rumah sudah terbakar sepenuhnya.
“Kami tidak sempat dapat menyelamatkan apa-apa barang kerana semuanya sudah musnah terbakar,” katanya kepada Sinar Harian.
Maniam berkata, kerugian yang dialaminya sekitar RM30,000 membabitkan  harta bendanya.
"Kini saya bersama isteri menumpang di rumah salah seorang anak di Mantin," katanya.
Maniam dan Devani dikurniakan lima anak. Kedua-dua mereka tidak bekerja dan hanya bergantung kepada anak-anak.
Maniam berkata, dia bercadang untuk meminta bantuan bagi membaiki rumahnya, malah laporan polis sudah dibuat pada hari kejadian.
“Manakala laporan bomba pula dijangka diterima dalam tempoh dua minggu setelah siasatan siap dijalankan.
“Kedua-dua laporan ini akan kami serahkan kepada wakil rakyat kawasan Lenggeng, Mustafa Salim untuk memohon bantuan,” katanya.
Sementara itu, Mustafa berkata, pihaknya sudah menyampaikan bantuan kilat kepada mangsa sejurus kejadian berlaku.
“Selain Pejabat Dewan Undangan Negeri Lenggeng, MIC Seremban turut menyampaikan bantuan wang ringgit kepada mangsa.
“Malah Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menyampaikan bantuan seperti tilam, bantal kepada mangsa kerana semua perabotnya musnah," katanya.
Katanya, selain itu, pihaknya bercadang memohon bantuan Kerajaan Negeri di bawah Unit Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana ia merupakan rumah rakyat.
"Struktur rumah berkenaan masih berkeadaan baik dan boleh dibaiki meskipun hangus terbakar," katanya.