Search This Blog

Friday, September 7, 2012

Rumah lama keluarga berusia 55 tahun terbakar bersama kenangan



7 September 2012
KUANTAN - “Walaupun tidak lagi tinggal di rumah ini, tetapi kebakaran yang berlaku itu telah meragut segala kenangan kami sekeluarga di sini. Tiada yang dapat dikenang lagi mengenai kehidupan kami dahulu kerana semuanya hangus terbakar,” kata Normala Mohamad, 26.

Rumah yang terbakar 27 Ogos lalu menyebabkan abangnya Mohd Zaki Abdullah, 32 hilang tempat tinggal.

Menurutnya, rumah tersebut berusia 55 tahun di mana ayahnya, Abdullah Mohamed, 72, yang merupakan seorang OKU membesarkan mereka adik beradik dengan hasil membuat rotan dan turut mempunyai bengkel membuat rotan berhadapan dengan rumah yang terbakar ini.

“Segala suka duka berlaku di sini dan banyak kenangan yang boleh dikenang setiap kali terpandangkan rumah ini.

Saya sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri di Kuala Pahang dan turut membawa ayah tinggal bersama kami di sana untuk menjaganya yang sudah uzur.

“Ayah juga sedih apabila menerima berita yang rumah ini terbakar. Walaupun dia tidak boleh nampak, tetapi hatinya juga dapat rasakan tiada kenangan lagi yang boleh dikenang.

“Kami akan datang ke sini melihat rumah lama ini memandangkan abang saya tinggal di sini, bagaimanapun sudah tiada tempat untuk pulang lagi,” katanya.

Normala berkata, abangnya yang bekerja kampung juga sudah tidak mempunyai tempat tinggal dan mengharap bantuan rakan-rakan untuk tumpang berteduh.

Menurutnya, ketika kejadian tiada siapa di rumah tersebut dan kebakaran hanya disedari oleh jiran namun tidak boleh berbuat apa-apa dan tidak sempat menyelamatkan barang-barang lama yang masih tinggal di dalamnya.

“Memang tiada barang yang berharga pun di dalam rumah ini.Tetapi bagi saya apa yang ada di sini adalah harta yang tidak ternilai yang mengingatkan kami pada zaman kecil- kecil dahulu.

“Kami bukan orang yang senang dan setiap kali dapat sesuatu barangan akan disimpan dengan baik dan semua itu sudah terbakar menyebabkan saya sedih,” katanya yang terkenangkan akan perhiasan rumah yang lama disimpan dalam rumah ini.

Sementara itu, nasib keluarga ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lepar, Mohd Shohaimi Jusoh dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Sumbangan yang diserahkan hari ini walaupun tidak seberapa diharap dapat membantu meringankan beban keluarga ini,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Manan juga berharap agar penduduk mengamalkan sikap berhati-hati setiap kali ingin keluar dari rumah dan pastikan segala barang di dalamnya selamat yang boleh menyebabkan kejadian tidak diingini seperti ini berlaku.

No comments:

Post a Comment