Search This Blog

Thursday, September 13, 2012

Rumah kastam kena serang



 
Johor Bahru: Dua rumah pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Johor dilempar bom petrol dalam dua kejadian berasingan di Taman Pulai Perdana di sini dan Nusajaya, pada waktu hampir sama kira-kira jam 4 pagi semalam.

Dalam kejadian pertama, Timbalan Pengarah Kastam Bahagian Pengurusan Pematuhan negeri, Ahmad Hassan, 54 mati akibat serangan jantung, sejurus mengalihkan keretanya daripada terbakar dalam serangan bom petrol di kuarters KDRM di Jalan Biru, Taman Pelangi, di sini. Mangsa yang belum berkahwin disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sultanah Aminah (HSA) kira-kira jam 4.30 pagi.
Cuba selamatkan kereta

Ahmad yang sudah berkhidmat kira-kira 30 tahun, sebelum itu bergegas mengeluarkan keretanya selepas menyedari rumah bersebelahan yang didiami dua pegawai penguat kuasa kastam, terbakar bahagian depan dan bumbungnya dipercayai dilempar bom petrol. Sebuah PROTON Savvy di depan rumah jirannya itu turut musnah.

Dua pegawai penguat kuasa yang ada di rumah berkenaan terselamat.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan/Pematuhan) KDRM, Datuk Matrang Suhaili, berkata sejurus mengalihkan kenderaannya ke lokasi selamat, Ahmad tiba-tiba rebah di tepi keretanya.
Rakan serumahnya mengejarkan mangsa ke HSA, tetapi disahkan meninggal dunia. Jenazah Ahmad dihantar ke kampungnya di Kuala Terengganu untuk dikebumikan selepas selesai bedah siasat, katanya.

Dalam kejadian kedua, di Nusajaya; empat ahli keluarga seorang pegawai penguat kuasa KDRM menempuh detik cemas apabila rumah mereka dekat Taman Pulai Perdana di sini, dilempar bom petrol.

Mangsa hidu bau petrol

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad, berkata kejadian kejadian disedari mangsa yang terjaga dari tidur apabila terhidu bau petrol sebelum mendapati bahagian depan rumahnya terbakar akibat dilempar bom petrol oleh individu tidak dikenali.

Empat beranak itu bernasib baik kerana kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kerosakan serius pada kediamannya, katanya ketika dihubungi semalam.

Polis percaya serangan itu dilakukan tiga atau empat individu yang ingin membuat khianat terhadap mangsa dan keluarganya.

Sementara itu, di KUALALUMPUR; Ketua Pengarah KDRM, Datuk Khazali Ahmad percaya dua serangan bom petrol itu bermotifkan rasa tidak hati terhadap tindakan penguatkuasaan pegawai dan anggotanya di Johor.

KDRM Johor sejak kebelakangan menjalankan operasi besar-besaran dalam mengekang kegiatan penyeludupan di negeri itu. Ini mungkin mengundang kemarahan di kalangan pihak tertentu di sana.

Kita percaya dua serangan bom petrol ini bermotifkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan. Ini bagi saya satu bentuk ancaman bertujuan menakut-nakutkan pegawai dan anggota saya, katanya ketika dihubungi malam tadi.

No comments:

Post a Comment