Rumah goyang ditiup angin
Sakinah berada di dalam rumah usang peninggalan keluarga yang hampir roboh
PASIR PUTEH -  Nasib enam sekeluarga yang terpaksa hidup dalam keadaan daif di rumah peninggalan keluarga yang hampir roboh di Kampung Bukit Tanah dekat sini, masih belum terbela.
Ku Let Tuan Mat, 43, berkata, dia yang hanya bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan tidak menentu tidak mampu membina rumah dan terpaksa berpuas hati dengan rumah usang itu.

Katanya, lebih menyulitkan apabila pemilik tanah tapak rumahnya itu tidak membenarkan dia membaiki, membesarkan atau terus tinggal di rumah tersebut.

“Kami terpaksa berasak-asak dalam rumah kecil ini, di sinilah tempat kami tidur dan di sini juga tempat kami makan, tiada bilik, bilik air dan tandas di luar rumah, atap bocor serta lantai dan dinding mulai mereput.

“Apabila hujan lebat, saya tidak dapat tidur bagi membolehkan anak-anak dapat tidur di sudut yang tidak terdedah titisan hujan, saya juga bimbang rumah ini roboh kerana sering bergoyang ditiup angin kencang,” katanya.

Ku Leh tinggal di situ bersama isteri, Sakinah Daud, 33, dan empat anak iaitu Tengku Nur Farhana, 3, Tengku Nur Amalina, 6, Tengku Nur suhaili, 14, dan Tengku Nur Fatihah, 15.

Katanya, walaupun keluarganya menerima bantuan persekolahan anak berjumlah RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat namun ia masih tidak mencukupi kerana dua anaknya belajar di sekolah menengah.

“Saya berharap kerajaan memberi perhatian kepada permohonan mendapatkan rumah menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk dibina di atas tanah milk keluarga isteri saya,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Bukit Tanah, Mohd Hasri Mat Nor ketika ditemui berkata, permohonan rumah PPRT untuk keluarga terbabit dikemukakan sejak setahun lalu.

Katanya, keluarga Ku Leh diminta bersabar kerana permohonan untuk mendapatkan bantuan tersebut terlalu banyak diterima pihak berkenaan.

“Saya juga berharap permohonan itu diluluskan segera, memandangkan rumah yang didiami keluarga ini terlalu usang dengan dinding daripada belahan buluh, lantai bahagian dapur dihasilkan daripada cebisan kayu terbuang,” katanya.