Rumah berusia 30 tahun hangus
Mahmood (dua, kanan) bersama jiran melihat serpihan kayu rumah yang kini jadi arang.
Rumah berusia 30 tahun hangus
Rumah Mahmood dan isteri tinggal rangka dalam masa 30 minit sahaja.
JERANGAU – Akibat terlalu panik, sepasang suami isteri warga emas di sini hampir terperangkap dalam kebakaran rumah mereka kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Namun, tindakan pantas jiran yang terkejut melihat api marak di rumah pasangan berkenaan berjaya menyelamatkan nyawa kedua mereka.

Walaupun begitu, tiada sebarang harta benda dapat diselamatkan memandangkan api marak dengan cepat.


Dengar letupan tiga kali

Kebakaran rumah papan itu berlaku ketika pasangan, Mahmood Mamat, 80, dan Siti Fatimah Zakaria, 60, sedang beristirahat di ruang tamu sambil menunggu waktu Zohor bagi menunaikan solat.

Siti Fatimah berkata, ketika kejadian dia berada di ruang tamu manakala suaminya sedang tidur sebelum pergi menunaikan sembahyang Jumaat.

Menurutnya, terkejut mendengar letupan sebanyak tiga kali dari bahagian dapur dia terus mengejutkan suaminya, namun api marak dengan cepat.

“Dia bangun dan cuba menyelamatkan dokumen penting serta menyimbah air ke arah api yang sedang marak namun sia-sia.

“Panik dengan keadaan tersebut saya menjerit meminta tolong dan kemudian ada jiran datang menolong keluarkan kami dari kediaman tersebut,” katanya.

Dia turut berterima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tanah Merah yang pantas membantu memadam api secara keseluruhan.


Perabot baru hangus

Siti Fatimah juga terkilan abila barangan elektrik dan perabot yang dibelinya tidak sampai setahun hangus dalam insiden berkenaan.

“Kami baru beli kelengkapan tersebut memandangkan kelengkapan lama rosak disebabkan banjir tahun lalu.

“Memang fobia bila melihat api marak dalam sekelip mata membuatkan kediaman dibina lebih 30 tahun itu hangus dalam masa setengah jam sahaja,” katanya.

Katanya, bagi mereka, tempat penginapan tidak menjadi masalah kerana kesemua tiga anak mereka bekerja dan menetap di sekitar kawasan tersebut.


Segala usaha sia-sia

Sementara itu, Mahmood berkata, dia berputih mata apabila wang tunai miliknya yang disimpan dalam tiga tin, berjumlah RM5,500 tidak dapat diselamatkan.

Katanya, duit tersebut sudah lama disimpannya secara sembunyi tanpa pengetahuan sesiapa termasuk isterinya.

Selain itu, Mahmood berkata, keterujaannya untuk membina anjung di bahagian tepi rumah tidak kesampaian bila kerja yang dimulakan awal pagi semalam bersama seorang lagi tukang kayu sia-sia.

“Pagi tadi (semalam) baru mula kerja hendak bina anjung tepi rumah namun insiden tersebut mendahului dari segalanya. Mungkin tiada rezeki kami,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Ipoh, Wan Yusof Wan Mustapa menyampaikan sumbangan segera sebanyak RM1,000 kepada mangsa, malah berjanji akan memaklumkan kepada Kerajaan Negeri untuk bantuan selanjutnya.

“Takziah buat mereka, diharap pasrah jalani ujian. Insiden ini juga mendapat perhatian penduduk yang tidak putus beri bantuan dan kata-kata semangat,” katanya.