Search This Blog

Saturday, September 29, 2012

Rintihan anak dalam api

SLIM RIVER: Seorang ibu hanya mampu meraung apabila melihat mayat anak angkatnya berusia empat tahun yang rentung terbakar di rumahnya, petang semalam.

Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari itu, mangsa, Mohd Shahrizal Abdullah, 4, tidak sempat melarikan diri sebaik rumahnya di Kampung Lintah, di sini, terbakar.


Difahamkan, ketika kejadian, ibu mangsa, Norliah Zakaria, 51, sedang menunaikan Zuhur, tiba -tiba terdengar suara anak lelakinya, Mohd Shafik Abdul Wahid, 12, menjerit memanggil namanya lalu tergesa-gesa keluar dari rumah untuk memeriksa apa yang berlaku.

“Sebaik keluar rumah, saya melihat api marak membakar rumah dengan cepat menyebabkan tidak dapat berbuat apa-apa. Saya hanya mampu mendengar suara anak lelaki yang terperangkap di dalam rumah meminta tolong.


“Saya cuba masuk ke dalam rumah bagi menyelamatkannya dengan bantuan orang kampung, tetapi pintu depan rumah gagal dibuka seolah-olah terkunci dari dalam menyebabkan saya buntu,” katanya.


Menurutnya, orang ramai cuba mencari jalan masuk ke dalam rumah berkenaan, namun usaha itu tidak berhasil akibat api marak cepat.

“Saya tidak dapat menyelamatkan apa-apa barang dan hanya dokumen sijil kelahiran saja sempat dibawa bersama, tetapi sedih dengan kematiannya.


“Sebelum ini, dia yang saya anggap macam anak sendiri suka berjenaka dan sangat manja dengan saya,” katanya.

Norliah yang baru kematian suaminya , Abd Wahid Nordin, 56, tiga bulan lalu akibat sakit jantung.


Selain Shahrizal, dia turut memelihara seorang lagi anak angkat Mohd Sarip Abdullah, 7, yang bermain di kawasan rumah jiran ketika kejadian.


Sementara itu, Ketua Polis daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nannyan berkata, sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu, sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dari Slim River dan Tanjung Malim dikejarkan di tempat kejadian.


“Dalam kejadian kebakaran seorang mangsa Mohd Shahrizal Abdullah, 4, ditemui rentung di depan pintu depan rumahnya. Mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri, tetapi gagal menyebabkannya ditemui rentung keseluruhan anggota badan.


“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.

No comments:

Post a Comment