Ribut: OKU rugi ribuan ringgit
Kerosakan dari luar rumah Pak Noh.
Ribut: OKU rugi ribuan ringgit
Begini keadaan dari dalam rumah Pak Noh (kiri) akibat ribut yang melanda Jumaat lalu.
BACHOK – Seorang warga emas kurang upaya (OKU) Ibrahim Mamat, 61, atau lebih dikenali Pak Noh terpaksa menanggung kerugian beribu ringgit, apabila beberapa televisyen pelanggannya rosak akibat ribut yang melanda Jumaat lalu.

Pak Noh berkata, dalam kejadian Jumaat lalu semua ahli keluarganya tiada di rumah, dan dia sendiri keluar ke kedai berhampiran.

Menurutnya, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu apabila dihubungi jirannya sejurus selepas kejadian.

“Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 5 petang ketika hujan lebat. Isteri saya, Fatimah Sidi Ahmad, 41, ketika itu keluar menghantar makanan yang ditempah orang dan saya ke kedai berhampiran.

“Selepas dimaklumkan jiran mengenai kejadian itu, saya bergegas pulang dan mendapati hampir semua bumbung bahagian depan rumah diterbangkan angin,” katanya.


Tidur berhimpit di dapur

Menurutnya, sebahagian bumbung ruang tamu juga rosak, menyebabkan semua ahli keluarganya terpaksa tidur berhimpit di ruangan dapur dan kerja membaiki televisyen juga tergendala akibat ketiadaan bumbung di ruang tersebut.

Katanya, memandangkan pendapatannya membaiki televisyen tidak seberapa dan perlu menanggung kerosakan televisyen akibat ribut, kini dia masih belum mampu untuk menyediakan kos baik pulih bumbung rumahnya.

“Laporan polis sudah dibuat dan beberapa pihak sudah dimaklumkan mengenai perkara ini. Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah menghulurkan sedikit bantuan.

“Dianggarkan kos yang diperlukan untuk membaiki keseluruhan bumbung ini ialah RM5,000 tidak termasuk kos upah dan sebagainya. Saya harap akan ada bantuan segera untuk membolehkan saya meneruskan kerja membaiki televisyen di ruangan ini,” katanya yang mempunyai tiga anak.

Kini Pak Noh hanya bergantung kepada bantuan bulanan JKM RM300 sebulan yang mencukupi untuk menampung keperluan persekolahan dua anaknya.


Dinding rosak akibat dimakan anai- anai

Dia berkata, rumah berusia lebih 40 tahun itu juga semakin usang dengan keadaan dinding rosak akibat  dimakan anai-anai.

“Rumah ini kami beli dengan harga RM500 hampir 20 tahun lalu, kini ia semakin usang dengan banyak bahagian dinding dirosakkan anai-anai. Untuk memohon rumah mesra rakyat juga kami dikatakan tidak layak. Jadi kami terpaksa bertahan mendiami rumah ini sahaja,” katanya.

Difahamkan, Pak Noh lumpuh sejak 40 tahun lalu akibat terjatuh dari pokok kelapa. Justeru, mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Pak Noh menerusi nombor 013 9770854.

Manakala, Setiausaha Persatuan Insani Negeri Kelantan, Mohd Kufri Omar yang turut melawat Pak Noh berkata, pihak persatuan sudah menghulurkan sedikit bantuan untuk Pak Noh, dan berharap beliau akan mendapat bantuan segera untuk membaiki rumahnya.