Search This Blog

Tuesday, September 4, 2012

Rempuh kereta perompak




         
SHAH ALAM: Akibat marah dan bengang apabila cuba dirompak, dua lelaki nekad mengejar perompak terbabit sebelum merempuh kereta penjenayah terbabit dalam kejadian samun di sebuah stesen minyak di Subang Jaya, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, mangsa bersama majikannya pergi stesen minyak berkenaan untuk mengisi petrol terkejut dengan kehadiran dua lelaki tempatan menaiki Perodua Myvi yang kemudian mengacukan objek dipercayai pistol terhadap mereka.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, ketika kejadian, mangsa yang bersendirian didatangi suspek ketika majikannya membuat bayaran di kaunter.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 25 dan 43 tahun itu mengarahkan mangsa menyerahkan dompet dan wang, namun membatalkan hasratnya apabila majikan mangsa melihat ke jadian itu.


“Suspek melarikan diri dengan seorang lagi rakan yang sedia menunggu dalam kereta, namun dikejar mangsa dan majikannya.


“Mangsa mengejar suspek hingga ke sebuah kawasan perumahan di Seksyen 14, Subang Jaya,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, mangsa merempuh bahagian belakang kereta suspek sehingga hilang kawalan lalu terbabas di tepi jalan sebelum kedua-dua mereka keluar dari kereta dan melarikan diri.


Menurutnya, mangsa menghubungi polis dan sepasukan anggota dari balai berhampiran dikejarkan ke tempat kejadian dan menahan suspek yang bersembunyi di kawasan perumahan itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui satu objek dipercayai sepucuk pistol mainan, lampu suluh, telefon bimbit dan sebuah beg dalam kereta suspek.


“Hasil ujian air kencing dan siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek berasal dari Petaling Jaya didapati positif dadah jenis syabu, namun tiada rekod jenayah lampau,” katanya.

No comments:

Post a Comment