AYER KEROH – Seorang remaja yang mendakwa hidup sebatang kara, mengaku bersalah merompak dan mencederakan seorang wanita berusia 37 tahun di sebuah hotel bajet di  Taman Melaka Raya, 3 September lalu.

Remaja berusia 15 tahun itu yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif, semalam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan dan merompak Wong Shew Hong, 37, di dalam bilik sebuah hotel bajet di Taman Melaka Raya, kira-kira jam 11.45 pagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan dihukum penjara, denda dan sebat.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Juhari Haron, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Ida Rahayu menetapkan 24 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan serahan dokumen laporan akhlak tertuduh.

Sementara menanti tarikh berkenaan, Ida Rahayu memerintahkan tertuduh ditempatkan di Asrama Bukit Baru.