KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang lelaki yang cuba menyerang polis bagi mengelak ditangkap bukan sahaja tidak berjaya, malah rahsia dia menyimpan sebilah parang berukuran 20 inci selama ini turut terbongkar.

Dia yang telah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 itu dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Ruddy Radzali, 31, selepas dia mengaku melakukan kesalahan memiliki sebilah parang iaitu satu senjata yang dijadualkan dalam jadual kedua yang boleh dihukum di bawah Seksyen 7 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Ruddy yang beralamat dari Kampung Padang Nenas, Mengabang Telipot, di sini, mengaku melakukan kesalahan itu pada 23 Ogos lalu kira-kira jam 1.30 pagi di sebuah pondok buruk di Kampung Mengabang Telipot.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna manakala Ruddy tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota polis telah membuat serbuan di sebuah pondok buruk di Kampung Kolam, Mengabang Telipot, di sini pada 23 Ogos lalu kira-kira jam 1.30 pagi sempena Ops Pintu/Cantas/Lejang.

Ruddy yang ketika itu sedang tidur di atas kerusi terkejut sejurus menyedari kehadiran polis dan bertindak pantas mencapai sebilah parang yang berada di sebelah kanannya sebelum memberanikan diri menyerang polis menyebabkan berlaku sedikit pergelutan.