Laporan muka depan Sinar Harian
Laporan muka depan Sinar Harian semalam mengenai kejadian pukau yang dilakukan dua lelaki warga asing.
KUANTAN –  Umat Islam perlu percaya kepada kewujudan syaitan dan jin yang mempunyai kaitan dengan kejadian pukau atau sihir.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Zuridan Mohd Daud berkata, pukau boleh dikategorikan sebagai sihir dan sebagai Islam mengharamkan umatnya dengannya.

“Bila kita sebut pukau ia bersangkutan dengan syaitan dan boleh dikategorikan sebagai sihir termasuk menggunakan jin jahat,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kejadian pukau di beberapa premis perniagaan dalam pusat membeli belah di sini, dua hari lalu.

Beliau berkata,  kejadian pukau banyak dilaporkan berlaku sama ada dalam kalangan umat Islam atau sebaliknya.

“Sebagai Muslin, kita perlu mempercayai perkara seperti itu selagi ia tidak bercanggah dengan syariat Islam atau membawa mudarat,” katanya.

Zuridan berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan Sinar Harian semalam mengenai geng pukau warga Pakistan yang berjaya diberkas oleh pengawal keselamatan ketika cuba memperdayakan peniaga di sebuah pusat membeli belah, di sini.

Katanya, masyarakat boleh mengetahui mengenai pukau atau sihir tetapi haram beramal dengannya kerana antara amalan syirik dan  ada yang melakukannya untuk tujuan jahat,” katanya.

Zuridan berkata, pukau membabitkan penguasaan fikiran dan sebagai pendinding daripada terkena pukau ialah menggunakan doa serta ayat-ayat al-Quran.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya ayat al-Quran bagi mengelakkan santau yang boleh mengganggu tidur, sentiasa berkhayal dan tidak sedarkan diri.