Search This Blog

Friday, September 7, 2012

Polis yakin 'Geng Kelisa' lumpuh



BATU PAHAT 6 Sept. - Polis yakin dapat melumpuhkan kumpulan penjenayah dikenali sebagai 'Geng Kelisa' yang aktif mencuri ikan kelisa di kolam ternakan di empat daerah di negeri ini dan Pahang dengan tertangkapnya tiga ahlinya baru-baru ini.
Siasatan mendapati kumpulan itu dipercayai mencuri ikan itu di daerah ini, Kluang, Kota Tinggi dan Bentong, Pahang.
Dalam satu kejadian pukul 10.30 malam di Kampung Bindu, Tongkang Pechah di sini pada 11 Julai lalu, sebanyak 23 ekor ikan itu yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM320,000 dilarikan enam suspek bersenjatakan pemotong besi.
Dalam insiden itu, suspek mengugut memukul penjaga kolam tersebut yang merupakan pasangan suami isteri dengan pemotong besi sebelum mengikat tangan mereka.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, selepas menggeledah bilik pasangan itu dan mengambil dompet mangsa, tiga suspek keluar daripada bilik dan mengambil 23 ekor ikan kelisa di dalam kolam sebelum beredar.
"Mangsa yang ketakutan, mendiamkan diri bagi memastikan keselamatan mereka terjamin dan hanya keluar pada pukul 2.15 pagi setelah yakin kesemua suspek tiada.
"Mangsa memaklumkan kejadian itu kepada pemilik kolam yang tidur di bahagian depan yang tidak menyedari berlaku kejadian tersebut," katanya.
Din berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan 12 individu di sebuah rumah di Peserai di sini awal bulan ini dan merampas semula 23 ekor ikan kelisa yang dicuri.
"Hasil sesi pengecaman yang dilakukan, mangsa dapat mengecam tiga suspek daripada 12 individu yang ditahan itu.
"Siasatan terperinci mendapati tiga suspek terbabit mengaku menyamun di kolam terbabit bersama tiga lagi rakan mereka yang masih bebas dan dikenali sebagai Kakas, Pendek dan Panjang," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.
habis

No comments:

Post a Comment