Search This Blog

Friday, September 7, 2012

Polis tumpas sindiket 'Black Money' aktif di Cheras



Izany Abdul Ghany (tengah) menunjukkan mata wang dolar Amerika palsu dan cecair kimia yang dirampas daripada sindiket 'Black Money' pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Amir Syafiq
KUALA LUMPUR 5 Sept. - Polis menumpaskan satu sindiket 'Black Money' yang bergiat aktif di Cheras sejak enam bulan lalu dengan tertangkapnya empat lelaki warga Nigeria selepas menyerbu sebuah kondominium mewah di Brickfields di sini Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, suspek yang berumur 25 hingga 37 tahun tersebut ditahan hasil serbuan berasingan di tiga unit kediaman itu yang dipercayai menjadi lokasi mereka beroperasi, pada pukul 12 tengah hari.
Katanya, dengan penahanan itu polis percaya dapat menyelesaikan 10 kes penipuan di sekitar Cheras membabitkan kerugian lebih RM500,000.
Beliau berkata, polis turut merampas peralatan elektronik seperti lima buah komputer riba, 14 buah telefon bimbit, sebuah kamera digital dan satu jalur lebar bersama 32 bungkusan besar mata wang 'Black Money' dalam dolar Amerika Syarikat.
"Polis juga merampas dua botol cecair kimia, disyaki digunakan untuk mencuci wang 'Black Money' selain 80 kotak minyak pelincir kenderaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini hari ini.
Menurut Izany, modus operandi sindiket itu adalah dengan memperdaya mangsa di laman sosial agar membeli mata wang tersebut dalam kuantiti yang banyak sebelum mengatur pertemuan bagi membuat demonstrasi mencuci wang palsu tersebut.
"Setelah mangsa berjaya dipengaruhi, sindiket terbabit akan memujuknya supaya membeli cecair khas itu yang dijual secara berasingan berserta wang tersebut," katanya lagi.
Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman empat hari.

No comments:

Post a Comment