JOHOR BAHARU - Polis percaya berjaya menyelesaikan sembilan kes pecah rumah dan samun di sekitar bandar raya ini selepas menahan seorang lelaki di sekitar Tampoi, di sini minggu lepas.
  
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata lelaki berumur 29 tahun itu ditahan selepas tiga jam dia dilaporkan memecah masuk dan menyamun sebuah rumah di Taman Bukit Mewah, Tampoi, di sini 17 Sept lepas.
  
"Polis yang menerima laporan pada kira-kira 12.30 tengah hari daripada orang awam mengesan lelaki terbabit tidak jauh dari tempat kejadian.
  
"Pelbagai barangan yang dipercayai hasil samun dirampas daripadanya termasuk sebuah tv plasma, dua alat pembesar suara, mesin pengadun, dua periuk nasi, periuk, mesin pencetak dan sebuah mesin basuh," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
  
Mohd Mokhtar berkata lelaki rakyat tempatan terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan dia kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata polis turut percaya berjaya menyelesaikan dua kes samun, dua kes pecah rumah dan satu kes kecurian kereta di Seri Alam, di sini selepas menahan lima individu dalam beberapa serbuan di Taman Desa Cemerlang, di sini awal bulan ini.
  
Mohd Mokhtar berkata serbuan terhadap empat lelaki dan seorang wanita berumur 28 hingga 34 tahun itu dilakukan pada 2 petang, 6 Sept lepas selepas polis bertindak atas satu maklumat berkaitan jenayah terbabit.
  
"Polis merampas 17 jam tangan pelbagai jenis, 22 telefon bimbit pelbagai jenis, 20 utas rantai, empat loket, dua cincin, lapan pasport serta pelbagai alatan pecah rumah dalam serbuan itu," katanya.
  
Beliau berkata tiga daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau. - Bernama