Search This Blog

Wednesday, September 26, 2012

Polis Perak: Kes bunuh pemandu selesai

Hasnul Hafis Saad
Hasnul Hafis Saad

IPOH – Polis mengklasifikasikan kes bunuh membabitkan seorang pemandu kenderaan syarikat di Taiping, 18 September lalu selesai dengan penahanan seorang lelaki yang disyaki suspek utama dalam kes berkenaan, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, hasil maklumat dan kerjasama orang ramai, Mohd Hafizuddin Zainal Abidin, 25, berjaya ditahan di kawasan  bukit di Kampung Syed Omar, Kangar Perlis pada jam 11 pagi.

Menurutnya, dalam penahanan itu, polis turut merampas wang tunai RM7,250 dan mata wang Thailand bernilai 550bath.

“Ini merupakan kejayaan pasukan khas yang ditubuhkan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, kita juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberi kerjasama dan maklumat sehingga tertangkapnya suspek,” katanya.

Permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah di Mahkamah Majistret Taiping, hari ini.

Sebelum ini, gerakan awal polis ke rumah lelaki berkenaan di Taman Kaya gagal apabila kediaman itu ditinggalkan kosong.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Hasnul Hafis Saad, 28, meninggal dunia di tempat kejadian dalam keadaan terbaring dengan beberapa kesan das tembakan di bahagian badan dan perut.

Mangsa yang menaiki van bersama suspek menghantar wang bernilai lebih RM1.2 juta, bagaimanapun Mohd Hafizuddin dilihat melarikan diri bersama wang rompakan bersama individu lagi dengan menaiki sebuah kereta jenis Honda Civic warna hitam.

No comments:

Post a Comment