BATU PAHAT – Polis menahan 12 individu bagi membantu siasatan dalam kes menyerang sepasang suami isteri yang juga penjaga kolam ikan kelisa di Kampung Bindu, Tongkang Pechah menggunakan pemotong besi pada Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan 12 individu pada awal bulan ini dan hasil daripada pengecaman yang dilakukan, mangsa dapat mengecam tiga suspek daripada 12 individu yang ditahan itu.

"Pada masa yang sama pihak polis berjaya merampas semula 23 ekor ikan kelisa di sebuah rumah di Peserai, di sini.

“Siasatan terperinci mendapati tiga suspek terbabit mengaku melakukan samun di kolam ikan kelisa tersebut bersama tiga lagi rakan mereka yang masih bebas dan dikenali sebagai Kakas, Pendek dan Panjang,” katanya.

Pada kejadian Julai lalu, sepasang suami isteri telah melalui detik mencemaskan apabila diserang dengan empat individu yang bersenjatakan pemotong besi di kolam ikan kelisa.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, keempat-empat suspek bertindak berani apabila menyerang mangsa menggunakan pemotong besi sebelum kedua-dua tangan mereka diikat menggunakan wayar komputer riba dan pondok kediaman pasangan itu turut digeledah.

Selepas menggeledah bilik pasangan itu dan mengambil dompet mangsa, tiga suspek tersebut mengambil pula 23 ekor ikan kelisa di dalam kolam dan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM 320,000

Menurut Din, ketika itu, pasangan terbabit yang diikat di dalam bilik dijaga seorang lagi suspek sebelum keempat-empat suspek melarikan diri selepas berjaya membawa lari 23 ekor ikan kelisa.

“Mangsa berada di dalam bilik sehingga jam 1.30 pagi dan mendiamkan diri hingga jam 2.15 pagi bagi memastikan keselamatan mereka terjamin, dan tidak diapa-apakan oleh suspek.

“Selepas yakin kesemua suspek sudah tiada, pasangan terbabit cuba membuka ikatan dan keluar daripada pondok sebelum ternampak satu lubang dinding ditebuk dan air kolam yang menempatkan ikan kelisa sudah kering dan didapati tiada ikan di dalamnya.

“Panik dengan kejadian itu, mangsa segera mencari pemilik kolam ikan terbabit yang sedang tidur di bahagian depan untuk memberitahu mereka sudah disamun,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, di sini, semalam.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan dan turut disiasat di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan iaitu menerima harta dengan curang.

“Suspek juga dipercayai terlibat dalam kes yang sama di mana ia turut dilakukan di Kluang, Kota Tinggi dan Bentong, Pahang,” katanya